KUCHING: Seramai 80 pelajar sekolah menengah di Sarawak dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kesemua mereka dikesan positif menerusi ujian air kencing.

“Daripada jumlah tersebut, sembilan orang (11.25 peratus) berjaya membebaskan diri daripada penyalahgunaan dadah apabila air kencing mereka didapati negatif bagi ujian susulan kedua dan ketiga sepanjang menjalani sesi rawatan, pemulihan dan kaunseling,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Berkala Pusat Komuniti Sehenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substan (MIDS) Negeri di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur 2 di sini baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial merangkap Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Penyalahgunaan Dadah dan Substan Dalam Komuniti Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah. Fatimah berkata, Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) baharu di Jalan Puncak Borneo dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

“Ia mempunyai kapasiti untuk rawatan dan pemulihan secara dalam institusi bagi 250 individu dalam satu-satu masa atau tambahan kapasiti sebanyak 100 berbanding dengan pusat lama bagi menempatkan 150 individu,” katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 1 hingga 30 Oktober tahun ini, seramai 165 orang sedang menerima rawatan dan pemulihan di CCRC melalui perintah mahkamah dan 24 orang lagi sedang mendapat rawatan secara sukarela di Klinik Cure and Care (C&C) Kuching yang dikendalikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.