KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpandangan Bajet 2021 yang telah dibahaskan secara panjang lebar oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat mencerminkan penekanan yang cukup tinggi ke arah usaha untuk membantu rakyat yang rata-rata terkesan dengan pandemik COVID-19.

Malah menurut beliau, apa yang diutarakan oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) sebelum ini berkaitan pengeluaran wang dari akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta moratorium selama enam bulan adalah bertujuan ke arah hala tuju dan matlamat yang sama.

‘’Perbahasan di Dewan Rakyat memperlihatkan bagaimana untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan bagaimana kerajaan mahu mengatasinya. Sebelah kanan sedang berdepan pandemik COVID-19 dan di sebelah kirinya adalah masalah ekonomi… ini pada saya melibatkan semua pihak yang terlibat khususnya kerajaan yang memerintah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata demikian pada program ‘Bicara Belanjawan’ terbitan Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang dihoskan Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid. Ianya disiarkan menerusi facebook UMNO-Online, di sini, Selasa malam.

Mahdzir seterusnya menambah, sudah pasti rakyat tertunggu-tunggu keputusan daripada belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan baru-baru ini kerana hakikatnya ramai yang terkesan di luar sana.

‘’Memang menjadi amalan kerajaan membentangkan belanjawan tiap-tiap tahun dan dan acara untuk perbahasan melibatkan ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dah selesai. Hari ini adalah hari kedua menteri menjawab di parlimen hasil daripada debat berkenaan.

‘’Jadi belanjawan menuju ke arah itu dan bagaimana untuk membantu rakyat. Sudah tentulah sebahagian daripada rakyat sedang menanti keputusan daripada belanjawan ini sebab terkesan secara peribadi kepada mereka.

‘’Ada lanjutan moratorium ka… keduanya adakah ‘cash’ di tangan mereka sama ada tunai yang melibatkan perbelanjaan keluarga dan sebagainya lagi,’’ tambahnya.

Beliau turut memaklumkan satu pertemuan antara ahli-ahli parlimen BN bersama menteri kewangan serta pihak daripada Bank Negara dan juga KWSP berkaitan cadangan yang dikemukakan sebelum ini.

‘’Pelbagai sektor sudah terkesan hari ini. Kalau dalam industri ‘airline’ sudah semestinya elaun tidak ada… tinggal gaji ‘basic’ dan ‘basic’ pun dipotong pada waktu ini. Jadi ianya diperlukan. Kerja hotel pun sama juga… 25 tahun kerja hotel ada satu amaun dari segi ‘basic salary’ tetapi hari ini ramai pekerja hotel beritahu gajinya dipotong.

‘’Jadi kalau mereka dapat kumpulkan satu jumlah wang contohnya tahun depan anak mahu masuk universiti jadi dia boleh ada dalam perkiraan bahawa boleh keluarkan akaun satu KWSP… ini boleh digunakan untuk anak masuk universiti atau apa juga yang berkaitan dengan kehidupan sebab mereka ini kumpulan yang terkesan dan ada juga yang kata wang ini wang persaraan tetapi banyak orang cakap betullah ianya untuk kegunaan satu hari nanti.

‘’Namun sekarang pun tidak ada duit macam mana nak kira masa umur 70. Sekarang ini memerlukan wang berkenaan. Jadi itu saya kira sudah ada pertimbangan dan itu adalah antara yang dibincangkan termasuklah soal moratorium,’’ ujarnya lagi.