KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin berkata, Malaysia sentiasa mengalu-alukan lebih banyak syarikat dari China menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan untuk melabur, terutamanya di sektor industri berteknologi tinggi.

Semalam beliau telah menerima kunjungan perpisahan daripada  Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia  Bai Tian yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 27 November ini. 

Dalam pertemuan itu Bai Tian juga menyampaikan ucapan tahniah Kerajaan Republik itu atas kejayaan Malaysia menganjurkan sidang APEC pada tahun ini, yang menyaksikan pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur serta pelancaran Visi Putrajaya 2040, yang bakal menjadi aspirasi kepada pertumbuhan komuniti Ekonomi APEC untuk 20 tahun akan datang. 

Kata Muhyiddin, Bai Tian turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai aspek kepada negara itu, khususnya ketika pandemik Covid-19 melanda Wuhan awal tahun ini. Beliau menganggap Malaysia sebagai negara sahabat sangat akrab yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan ketika China berdepan musibah. 

“Pada pertemuan di pejabat saya di bangunan Parlimen itu, saya telah menyatakan penghargaan kerajaan atas sumbangannya dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan China, yang kini berada pada tahap sangat tinggi sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1974,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

“Saya nyatakan bahawa China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar selama 11 tahun berturut-turut, dengan nilai dagangan tahun lepas merekodkan sebanyak RM315.19 bilion. Pada 2019, nilai pelaburan China di Malaysia adalah berjumlah RM18.25 bilion, menjadikan negara itu sebagai sumber pelaburan langsung asing ke-10 terbesar di Malaysia,” katanya lagi. 

Sehubungan itu,  jelas beliau, Bai Tian menyatakan Malaysia telah disenaraikan sebagai negara yang akan diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 keluaran China yang bakal diedarkan tidak berapa lama lagi. Saya telah sampaikan penghargaan Malaysia atas komitmen yang dibuat oleh kerajaan China itu. 

“Selamat maju jaya saya ucapkan kepada Bai Tian yang akan pulang bertugas di Beijing selepas tiga tahun berada di negara ini,” katanya.