KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahi Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada mendiang Sarjan Baharuddin Ramli dan Sarjan Norihan Tari.

Pada Selasa, Baharuddin terkorban manakala  Norihan ditembak selepas diserang kumpulan penyeludup ketika menjalankan risikan di kawasan Pintu A3, Pos Tembok Sempadan 9 (TS9), Padang Besar.

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin  dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, penganugerahan itu sebagai mengenang jasa dan pengorbanan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) itu yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri juga memperakukan supaya mendiang Baharuddin dinaikkan pangkat kepada Sarjan secara posthumous dan Norihan juga dinaikkan pangkat kepada Sarjan secara medan.

“Saya bagi pihak kerajaan menjunjung kasih ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda untuk menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada kedua-dua anggota berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang bertanya mengenai serangan terhadap dua anggota PGA ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand.

Kata Hamzah lagi, kerajaan sentiasa mengiktiraf jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan berani dalam mempertahankan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara.