SERIAN: Masyarakat di kawasan Bukit Semuja digalak untuk menceburi industri penternakan ikan empurau kerana ia menjanjikan pulangan yang lumayan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, ini kerana empurau merupakan spesies ikan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran domestik.

Justeru, beliau menyeru semua peserta kursus asas ternakan ikan empurau agar mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari.

“Saya berharap semua peserta serius dalam mengusahakan penternakan ikan empurau kerana ia boleh menjana pendapatan yang lumayan,” katanya semasa Majlis Penutupan Kursus Asas Ternakan Ikan Empurau Sarawak Sesi 2/2020 di Stesen Pertanian Tarat pada Rabu.

Para peserta telah didedahkan dengan pengetahuan asas akuakultur, ternakan ikan empurau, pengurusan ladang dan kualiti air, pelesenan akuakultur, projek serta skim bantuan bahagian perikanan darat.

Sementara itu, beliau memberitahu, Biro Pertanian Bukit Semuja sedang mencari tempat yang sesuai untuk ‘Agriculture Agro Farm’ bagi memajukan industri pertanian di Serian.