MELUAN: Penduduk di Meluan bakal menikmati liputan internet yang lebih baik dengan siapnya pembinaan lapan Menara Telekomunikasi Multimedia Authority Rural Telecommunication 300 (SMART 300) di kawasan itu.

Kawasan yang telah dikenalpasti untuk menara itu adalah di Tanjong Udol, Nanga Ayam (Jalan Nanga Entabai), Ulu Strass (Serau), Nanga Sepitoh (Serau), Balut (Ulu Lasi), Nanga Kemalih (Ulu Entabai), Nanga Ensiring (Ulu Kanowit) dan Jikang (Batu 15 Jalan KJD).

Semasa merasmikan majlis pecah tanah Menara Telekomunikasi SMART 300 di Nanga Ensiring, Julau pada Rabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, beliau optimis kemudahan itu akan membuka ruang kepada penduduk luar bandar turut bersama menikmati manfaat ekonomi digital negeri ini.

Tambahnya, ia juga bukti jelas kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat khususnya di kawasan pedalaman.