PUSA: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan memantau dan memastikan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan kampung berjalan lancar mengikut perancangan.

Selain itu, KMKK juga perlu mengenal pasti dan mengatasi isu yang berbangkit dengan baik, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor.

Katanya, KMKK bertindak sebagai kakitangan pihak Kerajaan dalam menyampaikan inisiatif kerajaan ke peringat akar umbi agar permasalahan yang timbul dapat diatasi dengan segera.

Sehubungan itu, beliau menggesa KMKK untuk sentiasa berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk agar daerah Pusa terus pesat membangun.

Beliau menjelas demikian semasa mengadakan perjumpaan bersama KMKK Zon Beting Maro pagi tadi.

Perjumpaan berjalan lancar dengan pelbagai isu dibangkitkan sepanjang sesi tersebut.