PADAWAN: Lapan pekerja pusat panggilan perjudian dalam talian diberkas dalam serbuan ke atas premis berkenaan, yang menggunakan sebuah kondominium di Jalan Sungai Tapang di sini untuk beroperasi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata enam lelaki dan dua wanita, terdiri daripada dua orang tempatan dan enam warga Indonesia berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 3.30 petang Selasa.

“Sindiket dipercayai telah beroperasi lebih kurang lima bulan dan mengaut keuntungan mencecah RM5,000 sehari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, kesemua suspek dibayar gaji RM1,500 sebulan untuk mengendalikan perjudian dalam talian iaitu 918 Kiss, 918 Kaya, Se 88, Mega 888 dan Pussy 88.

Katanya setiap pekerja dibekalkan oleh sindiket dengan telefon pintar dan komputer untuk berurusan dengan pelanggan.

“Setiap wang pertaruhan akan dikreditkan oleh pelanggan ke beberapa akaun bank sindiket dan seterusnya slip bank akan dihantar melalui sms dan aplikasi Whatsapp.

“Seterusnya, pekerja akan memberi kata laluan kepada pelanggan untuk memulakan permainan judi,” jelasnya.

Aidil menambah sindiket turut menyewa kondominium untuk berselindung dan mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.