KUCHING: Isu penyalahgunaan dadah dan substance merupakan isu utama daripada 11 isu sosial yang diberi fokus oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dalam memastikan isu-isu dalam rantaian bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan substance ditangani secara menyeluruh, satu rangka pelan tindakan bagi menangani berkenaan telah diwujudkan pada tahun 2017.

Jelasnya, terdapat lima tindakan yang disenaraikan iaitu pertama menyekat perbekalan dadah dalam pasaran bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan.

“Kedua, menyekat permintaan dadah melalui tindakan bersepadu pencegahan, kesedaran dan advokasi, seterusnya rehabilitasi bersepadu terhadap penagih dadah dan substance melalui tindakan rawatan dan pemulihan.

“Manakala keempat, memperkasa daya ketahanan komuniti dan kelima, mempunyai urus tadbir serta term of reference yang berkesan dan bersepadu di Sarawak,” katanya dalam Mesyuarat One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah Dan Substance Peringkat Pertama Bagi Tahun 2020 pada Selasa.

Tambah beliau, pencapaian besar OSC bagi menangani isu dadah dan subtance di Sarawak iaitu berjaya memupuk semangat setia kawan, kolaborasi serta jaringan kerjasama dalam ahli-ahli OSC, NGO dan komuniti.

“Kesepaduan dan semangat kebersamaan bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dan substance semakin baik serta impak positif sudah mula dirasa oleh komuniti di Sarawak,” ujarnya.

Hadir sama dalam mesyuarat itu, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus serta Pemangku Setiausaha Tetap KWKPK, Caroline Cleophas Joseph.