KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksana dalam keadaan Covid-19  hari ini.

Jelasnya, masa ekonomi baik atau masa yang sesuai baru boleh dilaksanakan GST dengan kadar rendah 4-5% dan sekarang biarlah cukai yang tinggi 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dahulu.

“Namun kerajaan dan rakyat terpaksa menerima kerugian besar akibat ketirisan cukai yang bernilai berbilion ringgit. SST tinggi 10% dan ada dua cukai (cukai jualan 10%, cukai perkhidmatan 6%). Ada juga isu lain iaitu caj perkhidmatan 10%.

“GST cuma satu cukai iaitu 6% atau kurang daripada itu seperti 4-5% boleh dibuat. Kutipan RM44B pada 2017/18 sebab ianya merentasi produk dibanding SST cuma RM21B sebab ketirisan, tidak cekap, penipuan, transfer pricing dan lain-lain.

“Ke mana kutipan GST dibelanja? Tentulah dipulangkan kepada rakyat semula dalam bentuk emolumen, pembangunan, subsidi, BR1M dan lain-lain,” katanya sepeeti dipetik UMNO Online.

Menurut beliau, tahun ini kerajaan kurang pendapatan RM42 bilion dan pasti jika ada GST RM44 bilion dapat membantu.

“Tahun 2021, kerajaan berhutang RM85 bilion sebab tiada hasil yang besar seperti GST… tapi rakyat Malaysia juga tak ingin yang tinggi 10% SST itu dan pelbagai cukai baru yang lain masa Guan Eng seperti cukai digital, cukai soda, cukai pelepasan, cukai RPGT dinaikkan, duti setem dinaikkan, cukai petak dan lain-lain.

“Itu antara sebab maka rejim PH-Dap kena maki hampir setiap hari selama 22 bulan.”

Dalam hal ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian dan pernah digelar ‘Tok Mat GST’ bersetuju bahawa pelaksanaan dan penerangan GST kena tepat dan penguatkuasaan mesti berkesan, terutama tentang harga barang dan sabotaj ekonomi oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika.

“Contoh, roti canai tak boleh naik harga sebab tepung zero rated, minyak masak zero rated, gas masak zero rated. Teh tarik juga… air paip zero rated, susu zero rated, gas masak zero rated, gula dan serbuk teh zero rated maka kenaikan juga patut zerolah. Tak naik harga.

“Ikan, ayam, lembu, kambing, beras, sayur, buah, tepung, mee, makanan laut, dan makanan mentah hampir semua zero rated. GST Malaysia istimewa, tidak seperti 170 negara-negara lain.

“Perabot, kereta, handphone, pakaian, kasut, bola, alat solek, barang binaan dan lain-lain sekarang ini ada 10% SST. Bila GST, patut buang 10% ganti dgn 6% maka turunlah harga 4%. Bukan kekal 10% SST campur 6%”

Tegasnya, sekiranya dengan GST maka naik harga 16% maka salah besar pengiraan itu.