KUCHING: Dua pekerja industri minyak dan gas yang terkandas di Romania baru-baru ini didapati positif Covid-19 setelah menjalani saringan sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 23 November lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)\ dalam satu kenyataan berkata, dua kes yang dikategorikan sebagai import ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 1,058 kes.

Jumlah kematian kekal 19 kes.

“Dua lelaki berkenaan balik dari Romania melalui Qatar pada 8 November dan sampai di Kuala Lumpur pada 9 November. Setibanya di Kuala Lumpur, mereka ditempatkan di pusat kuarantin bagi menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sehingga 22 November,’ katanya dalam satu kenyataan..

“Saringan rT-PCR pertama mereka pada 10 November juga didapati negatif Covid-19. Ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK Antibodi pada 22 November juga tidak reaktif,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambahnya, mereka kemudian meneruskan perjalanan balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri kemudian ke Lapangan Terbang Sibu pada 23 November lalu. 

“Kes-kes ini telah dimasukkan semula ke pusat kuarantin dan menjalani saringan ulangan Covid-19 menggunakan kaedah rT-PCR,” katanya.