KOTA SAMARAHAN: Penganjuran kursus tatacara pengurusan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Samarahan 2020 merupakan platform untuk memberi pendedahan tentang dasar-dasar baharu kerajaan kepada semua ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).

Kursus sama juga membolehkan Pejabat Daerah melaksanakan urus tadbir JKKK agar institusi berkenaan berupaya menjadi jentera pelengkap kepada sistem pentadbiran kerajaan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, kursus tersebut penting bagi memperkasakan peserta dalam mengendalikan pengurusan urus tadbir JKKK kampung supaya dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada penduduk.

Menurutnya, JKKK merupakan ikon bagi penduduk kampung, justeru semua urus tadbir mengenai dokumen yang melibatkan penduduk kampung juga seharusnya teratur.

“Misalnya, setiap kali selepas mesyuarat JKKK, minit mesyuarat mesti dihantar ke Pejabat Daerah dan satu salinan mesti disimpan oleh JKKK masing-masing,” katanya semasa Majlis Penangguhan Kursus Tatacara Pengurusan JKKK Daerah Samarahan 2020 di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Rabu.

Sementara itu, beliau bersyukur kerana kerajaan negeri telah meluluskan projek bagi membina kira-kira 1,200 unit rumah mampu milik di kawasan berkenaan.

“Objektif projek rumah mampu milik ini adalah bagi membantu golongan anak muda B40 dan M40 yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri.

“Mereka boleh memohon dengan syarat mesti berpendapatan RM1,300 sebulan di mana bayaran rumah ini adalah sekitar RM200 hingga RM300 sebulan,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Daan, wakil Residen Bahagian Samarahan, Aszailila Asobeng, kakil Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, ASP Austin Patrick Angkon dan Pemanca Bahagian Samarahan, Seli Hasan.