KUCHING: Adakah  Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada peringkat dasar akan diluluskan ataupun tidak?

Jawapannya akan diketahui pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Isu ini hangat dibincangkan rakyat sejak belanjawan berkenaan dibentangkan pada 6 Nov lalu.

Ini susulan pertikaian mengenai beberapa aspek belanjawan berkenaan, termasuk parti sekutu PN sendiri seperti Umno.

Antara yang hangat dikritik ialah peruntukan RM85 juta kepada Jasa.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan itu untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.

Ini merupakan belanjawan pertama dibentangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Mac lepas.

Pengundian Belanjawan 2021 itu dijadualkan selepas selesai penggulungan oleh Kementerian Kewangan.

Sesi penggulungan sembilan menteri akan dilakukan sebelum Kementerian Kewangan membuat penggulungan.

Pengundian akan dilakukan selepas itu.

Antara kementerian terbabit ialah Kementerian Perpaduan Negara; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.