PUTRAJAYA: Sepuluh universiti tempatan terdiri daripada tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta – berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia berdasarkan laporan Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) : Asia 2021.

Menurut laporan QS yang dikeluarkan hari ini, Universiti Malaya (UM) mendahului universiti lain dengan berada di tempat kesembilan, diikuti Universiti Putra Malaysia ke-28, Universiti Sains Malaysia (ke-34) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35).

Universiti Teknologi Malaysia di tempat ke-39, Universiti Teknologi Petronas (ke-70), Taylor’s University (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi Mara (ke-108).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengenai pencapaian berkenaan seperti dipetik Bernama.

Noraini berkata kejayaan itu juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia dan dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

Noraini berkata UM buat kali pertamanya telah berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia dalam penarafan kali ini dengan mendapat tempat kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

UM juga, menurutnya telah berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini.

Shang Jiao Tong University merupakan universiti terkemuka yang telah memperkenalkan Ranking Akademik Universiti-universiti Dunia atau lebih dikenali sebagai “Shanghai Jiao Tong University Rankings” yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

Pada siri penarafan kali ini, 35 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu pertambahan enam universiti berbanding dengan 29 buah universiti yang tersenarai pada tahun lepas, katanya.

“Sebanyak 24 universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas,” katanya.

Dalam laporan QS itu juga menyatakan Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini, katanya.

“Sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat Asia,” katanya.

Noraini berkata tahun 2020 merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.