KUCHING: Para pemain industri pelancongan hendaklah berusaha menawarkan pakej percutian menarik dan jangka panjang untuk orang tempatan di negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Menurut Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, secara kolektif semua pihak perlu bekerja keras untuk menghasilkan program pelancongan menarik bagi menghidupkan semula sektor pelancongan domestik susulan ancaman pandemik Covid-19 yang menyaksikan PKP terepaks dikuatkuasakan.

Untuk rekod, sektor pelancongan antara yang terjejas teruk apabila sempadan negara ditutup dan para pelancong asing tidak dibenarkan memasuki negara ini.
Jelas beliau, keadaan yang dihadapi ketika ini menyebabkan penurunan aktiviti pelancongan dan pengembaraan.

“Ia memberi kesan kepada kehidupan masyarakat tempatan terutamanya yang terbabit dalam industri ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas mengenai inisiatif gelembung perjalanan domestik zon hijau seperti diumumkan Menteri pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan, Datuk Seri Nancy Shukri semalam.

Mengenai inisiatif berkenaan, Abdul Karim yang menyambut baik inisiatif berkenaan percaya ia dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada sektor pelancongan tempatan.