SIBU: Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (MJKKK) Skim Sekuau kini sedang dalam perancangan membina sebuah Taman Rekreasi Tasik Sekuau di sini.

Pengerusi MJKKK Skim Sekuau, Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing berkata, mereka juga merancang untuk menaik taraf gelanggang futsal dan tandas awam.

“Projek awam ini dirancang untuk dibangunkan dalam tahun 2021 hingga 2023,” ujarnya.

Exco Pemuda Parti Rakyat Sarawak itu menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan Sekuau menjadi lokasi menarik, ceria dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan infrastruktur.

“Skim Sekuau dikelilingi 32 rumah panjang, deretan kedai, dewan masyarakat, sekolah, klinik kesihatan, manakala di hujung jalan terdapat jambatan gantung yang merentasi Batang Oya, selain bentuk geografinya yang berbukit-bukau.

“Keindahan dan kebersihannya perlu dijaga oleh penduduk Sekuau supaya kawasan ini boleh dijadikan lokasi pelancongan menarik sama ada menerusi program Inap Desa atau sebagainya,” ujarnya

Terdahulu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) menganjurkan program gotong-royong yang disertai penduduk 32 rumah panjang itu.

Perasmian  disempurnakan Pengerusi MDLBS, Sempurai Petrus Ngelai.

Pengerusi penganjur yang juga Ahli MDLBS, Kaunselor Henry Kanyan berkata, program itu sebagai persiapan sempena sambutan Hari Krismas dan Ambang Tahun Baharu 2021.

“Kerja-kerja pembersihan dijalankan di sekitar kawasan Skim Sekuau, dengan masyarakat dituntut untuk bersama-sama menjaga kebersihan,” ujarnya