MARUDI: Sebanyak 15 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang keseluruhannya berjumlah RM261,000. 

Menurut Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala, sumbangan ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk kesejahteraan masyarakat. 

“Setiap penerima bantuan MRP perlu mengemukakan laporan kepada Pejabat Pusat Khidmat DUN Mulu bagi memastikan sumbangan tersebut digunakan seperti yang terdapat dalam surat permohonan. 

“Bagi mereka yang belum menerima sumbangan ini dinasihatkan untuk bersabar kerana masih ada permohonan yang sedang dalam proses.

“Di samping itu, penyampaian perlu diadakan secara berperingkat mengikut garis panduan Standard Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam mengelak penularan COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Cek MRP ADUN Mulu di Pusat Khidmat DUN Mulu Cawangan Marudi pada Isnin.