KOTA SAMARAHAN:  Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM190 juta di bawah RMK-12 dalam usaha menubuhkan sebuah pusat penyelidikan penyakit berjangkit  yang terletak berdekatan Taman Bio-Industri di sini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pusat  pertama seumpamanya di negara ini dijangka siap pada 2024.

“Pusat ini adalah untuk kita menjalin kerjasama selain melakukan aktiviti penyelidikan terutama berkaitan penyakit berjangkit seperti penyakit tropika,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi dan Sains Inovasi untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) Edisi Khas 2020 anjuran UiTM cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Katanya lagi, dengan adanya pusat itu nanti, saintis tempatan dan antarabangsa serta ahli akademik, penyelidik, dan Kerajaan Negeri dapat bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan.

Ujarnya, setakat ini  sudah ada ahli akademik dan saintis tempatan dikenal pasti dan mereka akan bekerjasama dengan beberapa institusi antarabangsa.

“Saintis kita akan bekerjasama dengan institusi berwibawa antarabangsa termasuk Universiti Cambridge, Universiti Oxford dan Kolej Imperial bagi mengenal pasti bahan sumber untuk tujuan perubatan,” katanya.

Ujar beliau lagi, ini merupakan satu daripada inisiatif untuk mengurus ekonomi  negeri pasca-Covid-19.