KUCHING: Rokok dan minuman keras pelbagai jenis bernilai RM4,795,396 yang tidak bercukai dilupuskan di Taman Pengurusan Sampah Bersepadu Kuching (KIWMP) Jalan Mambong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, tindakan terbabit telah diperolehi daripada Mahkamah Majistret Kuching pada 16 November lalu sebelum pihaknya membawa kesemua barangan di bawah Akta Kastam 1967 itu ke lokasi sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, kesemua barangan itu dilupuskan dengan menggunakan jentera berat.

“Jumlah keseluruhan barang yang dilupus ialah 26776 karton rokok pelbagai jenis manakala sebanyak 3413 kotak dengan 242 botol minuman keras pelbagai jenis.

“Terdapat barang yang berstatus dalam siasatan namun turut diperintahkan oleh pihak mahkamah untuk dilupuskan memandangkan penyimpanan barangan kes terhad,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aidil mendedahkan sebanyak 14 kes melibatkan barangan tanpa cukai masih belum mendapat arahan untuk dilupuskan.

Tambahnya, empat daripadanya merupakan kes pada tahun 2019 manakala 10 lagi kes adalah hasil rampasan polis tahun ini.