DENVER: Tindakan ibu memberi izin kepada tiga orang anaknya bermalam dengan pengasuh mereka hampir-hampir menjadi tragedi hitam dalam hidup wanita tersebut.

Menurut Crime Online, Polis Cedar City, ibu tersebut Peyton Everett Caraballo-Winston menghubungi mereka mengatakan dia memberi kebenaran kepada pengasuhnya, Emily Marissa Luciano membawa tiga anaknya tidur di rumahnya semalam.

Emily sepatutnya menghantar anak-anaknya kembali kepadanya, tetapi pengasuh tersebut dikatakan memberi pelbagai alasan kepadanya bagi melambatkan kepulangan anak-anaknya.

Hasil siasatan mendapati pengasuh itu meninggalkan anaknya yang berusia 5 tahun dan 1 tahun dengan “orang ketiga”.

Manakala bayi Peyton, dibawa Emily bersama-samanya ke Colorado.

Polis mengeluarkan amaran Oren dan memulakan usaha mereka mencari tiga kanak-kanak itu.

Pihak penyiasat meneruskan hubungan mereka dengan Emily melalui mesej dan telefon, namun dia sering kali memberikan kenyataan tidak benar dan tidak konsisten kepada pegawai penyiasat dan tidak bekerjasama dengan siasatan.

Emily kemudiannya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver oleh pegawai penyiasat yang bekerjasama dengan pihak FBI dan Pusat Kanak-kanak Hilang dan Dieksploitasi Nasional.

Dia ditahan pihak berkuasa dan bayi tersebut berjaya dikembaikan semula kepada ibunya.

Peyton memuatkan kisahnya di akaun Facebook dan memberitahu semua anak-anaknya kini sudah kembali bersamanya.