PUSA: Masjid Darul Ehsan Kampung Semarang, Pusa yang rosak akibat dipukul ombak semasa fenomena air pasang besar baru-baru ini akan dibina semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor memberitahu tender pembinaan masjid baru Kampung Semarang akan diiklankan sebulan bermula hari ini hingga 29 Disember 2020 sebelum diserahkan kepada kontraktor yang dilantik.

Katanya, pembinaan masjid baru itu dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

Semasa mengadakan perjumpaan bersama penduduk kampung pada Selasa, Razaili berkata Kerajaan Negeri juga telah meluluskan sebuah lagi surau di Kampung Semarang untuk memudahkan penduduk melakukan aktiviti keagamaan di tapak yang telah dikenal pasti.

Jelas beliau, buat masa ini, segala aktiviti keagamaan, solat Jumaat dilakukan di Surau Annur Kampung Sungai Durian Kampung Semarang, Pusa. Katanya, surau itu juga akan diperbesarkan dengan bajet daripada Pusat Khidmat Beting Maro serta meluluskan RM5,000 untuk JKK Kampung Semarang untuk urusan gotong royong.