KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih fokus kepada isu rakyat yang ditimpa kesusahan susulan penularan pandemik Covid-19 ketika ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan yang telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah meningkatkan pendapatan, termasuk kemungkinan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Pandangan saya lebih baik kerajaan fokus dahulu isu yang rakyat minta pertimbangkan hari ini terutamanya pengeluaran Akaun 1 KWSP RM10,000 sekali gus tanpa mengenakan syarat-syarat ketat yang mengekang dan lanjutan moratorium secara pukal bukan bersasar,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya.

“Isu cukai GST kita bincangkan kembali selepas kesusahan rakyat ketika pandemik Covid-19 ini reda dan diminimumkan,” katanya.

Menurut beliau lagi ketika rakyat susah memikirkan duit di poket makin kurang untuk berbelanja, kurang bijaksana membicarakan isu cukai untuk mengambil apa-apa yang tersisa daripada poket rakyat.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada 6 November lalu adalah yang pertama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan.