BINTULU: Setiap kali penghujung tahun, negara bersiap sedia hadapi musim tengkujuh dan beberapa kawasan di Sarawak dijangka banjir termasuk di kawasan Tatau ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang Undang dan Adat Bumiputera Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, untuk itu setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu peka dan membantu pihak berkuasa dalam memantau pergerakan air di kawasan masing-masing. 

“Pentingnya peranan setiap ahli JKKK sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dalam membantu pihak berkuasa seperti PDRM, BOMBA dan Pejabat Daerah dalam menghadapi musim tengkujuh ini. 

“Selain itu, bertindak sewajarnya dalam situasi penting dan kritikal seperti menyediakan pelan pemindahan ke kawasan yang lebih tinggi sementara menunggu bantuan daripada pihak berkuasa,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bengkel Kepolisan Komuniti Daerah Tatau Siri 3 Tahun 2020 di Hotel Parkcity Everly, Bintulu pada Isnin. 

Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada tuai rumah dan ahli-ahli JKKK Kampung dan Rumah Panjang menghadiri bengkel yang diadakan sehari. 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus meminta masyarakat berhati-hati supaya tidak terlibat dan terdedah dengan jenayah seperti macau scam, love scam dan pelbagai bentuk penipuan dalam talian.

“Pelbagai cara digunakan oleh penjenayah ini untuk menipu seperti membuat panggilan telefon kononnya dari mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis. Laporkan segera kepada pihak polis jika terdapat panggilan yang mencurigakan,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Residen Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Tadbir  Daerah Tatau Calvin Ligong dan Pemanca Daerah Tatau Gerosen Jubin.