KUALA LUMPUR: Pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air di Selangor terhadap dua individu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) semalam merupakan bukti jelas Kementerian Alam Sekitar dan Air tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah alam sekitar.

Menyifatkannya sebagai perkembangan positif, menteri terbabit Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan berkata kes itu mencatat sejarah apabila menjadi kes jenayah alam sekitar pertama di Malaysia dituduh di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan Sosma.

Semalam media melaporkan dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air di Selangor, membabitkan kesalahan terhadap keselamatan negara mengikut Sosma.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua tertuduh turut dihadapkan dengan lima pertuduhan lain di bawah Seksyen 34B(1)(a), Seksyen 34A(2), Seksyen 18(1) dan Seksyen 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974; dan Seksyen 61(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

Seorang daripada Orang Kena Tuduh (OKT) turut dituduh di Mahkamah Majistret Selayang di bawah Undang-undang Kecil 3, Undang-undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian, Majlis Perbandaran Selayang, 2007.