KUCHING: Setelah tiga hari berturut-turut tiada kes, Sarawak hari ini merekodkan satu kes positif Covid-19 di daerah Kuching.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Tan Sri James Jemut Masing berkata kes merupakan seorang wanita tempatan yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid- 19 pada 23 November lalu kerana mengalami batuk, demam, pening kepala dan hilang deria bau.

“Kes bekerja di sebuah pusat beli-belah di Kuching sebagai ejen jualan peralatan komunikasi dan kes tidak mempunyai kontak secara langsung kepada mana-mana kes positif Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan harian mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,056 kes.

Sementara, beliau berkata tiada kluster baharu dilaporkan namun masih terdapat enam kluster yang aktif iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas.