KUCHING: Kerajaan Sarawak masih mengkaji kemungkinan untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri dengan kerjasama dengan sektor swasta.

Syarikat penerbangan sendiri, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perlu bagi menghubungkan negeri ini  dengan destinasi strategik seperti Hong Kong, Jepun, Korea Selatan  dan Australia, selain destinasi  lain di rantau ini.

Dengan itu, jelas beliau, akan dapat meningkatkan perhubungan udara yang strategik dalam usaha untuk menambah jumlah pelancong ke Sarawak.

Sarawak sebelum ini menyasarkan untuk menarik lima juta pel,ancong tetapi hanya berjaya merekodkan sekitar 4.6 juta pada tahun lalu.

PKP susulan ancaman pandemik Covid-19 memukul teruk sektor pelancongan yang menyaksikan lebih 65 peratus kemerosotan dari segi jumlah pelancong ke negeri ini setakat ini.

“Mungkin syarikat penerbangan itu nanti bukan 100 peratus dimiliki kerajaan, tetapi dengan sektor swasta kerana sistem penerbangan hendaklah digerakkan oleh sektor swasta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Webinar Ketua Menteri bertajuk ‘Bajet Sarawak 2021: Menuju Masyarakat Bependapatan Tinggi pada 2030 anjuran Persekutuan Perniagaan Sarawak, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Sarawak ada perancangan untuk menguasai bahagian syarikat penerbangan tertentu, namun tidak dapat dilaksanakan sebab syarikat penerbangan terbabit mempunyai komitmen tertentu.

“Jika kita membeli saham dan masih tetapi menguasai blok minoriti, ia tidak akan memberi banyak faedah. Jadi lebih baik menubuhkan syarikat penerbangan sendiri,” jelasnya lagi.