SERIAN: Tindakan empat lelaki pendatang asing tanpa izin(Pati) menggunakan jalan tikus di sektor Tebedu untuk memasuki Sarawak pada Isnin malam tidak berhasil.

Markas Divisyen Pertama Infantri menerusi satu kenyataan mengesahkan mereka ditahan oleh pasukan rondaan Tentera Darat Malaysia(TDM) sekitar jam 9.35 malam.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua Pati itu berasal daripada Entikong dan memberikan alasan ingin ke Kuching untuk bekerja.

Setelah itu katanya, kesemua mereka telah diusir keluar dari Malaysia.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu turut mendedahkan terdapat dua pengusiran seramai lapan Pati di sektor Tebedu dalam tempoh dua minggu sahaja.

Tambahnya, modus operandi aktiviti itu yang menggunakan waktu lewat malam dan awal pagi bagaimanapun tidak berhasil berikutan kawalan kedaulatan sempadan negara dilakukan tanpa mengira batasan waktu.

“Kejadian sebelum ini adalah pada 7 November iaitu seramai empat Pati dari Entikong cuba menyelinap masuk atas tujuan sama,” ujarnya.