PAKAN: Rakyat di kawasan Pakan diseru untuk terus kekal menyokong kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan banyak peruntukan bagi pembangunan infrastruktur di konstituensi berkenaan bagi meningkatkan lagi taraf hidup penduduk tempatan.

Menurutnya, kerajaan negeri kini giat melaksanakan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk di Pakan.

“Belanjawan Sarawak 2021 juga cenderung kepada pembangunan luar bandar dengan RM4.251 bilion daripada sekitar RM6 bilion diperuntukkan bagi mempercepatkan lagi pembangunan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Mullok, Lempa Antu Atas Pakan pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Tan Sri William Mawan berkata, sudah tiba masanya penduduk luar bandar seperti di Pakan beralih daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang menggunakan teknologi moden.

“Pembangunan rangkaian jalan raya di konstituensi Pakan jug membolehkan penduduk menceburi sektor pertanian moden yang menjanjikan pendapatan lebih tinggi,” katanya.