KUALA LUMPUR: Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lemah dapat distabilkan jika tiada ‘permainan’ untuk menikam dari belakang, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Menurut  Puad,  untuk mendapatkan keadaan politik yang stabil, yang diperlukan ialah ‘kejujuran politik’ berbanding gerakan menikam dari belakang.

“Sebenarnya kerajaan ini boleh stabil jika ada kejujuran politik. Terlalu banyak game plan untuk menikam dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya pagi ini.

“Maka inilah harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Muhyiddin,” katanya.

Bekas ahli parlimen Batu Pahat itu berkata, masalah Muhyiddin  berpunca daripada kerajaan lemah – yang digelarnya sebagai ‘kerajaan 113’ yang merujuk kepada jumlah sokongan yang didakwa diterima perdana menteri.

Tegasnya,  rakyat sudah bosan dengan kemelut politik hari ini, justeru, Muhyiddin perlu mengetepikan ego dan kembali kepada kejujuran politik.

“Hentikan ego dan balas dendam. Balik kepada kejujuran politik,” katanya.

“Macam macam boleh berlaku minggu ini. Bajet (belanjawan) lulus, bajet ditolak, undi tidak percaya, parlimen bubar, Muhyiddin PM (perdana menteri) paling singkat dan mungkin akan ada PM baru,” katanya lagi.