KUALA LUMPUR: DI bawah pakej rangsangan ekonomi Kita Prihatin, kerajaan telah membuka semula permohonan untuk Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) yang merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini, kata Menteri keewangan.

Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tujuan GKP 2.0 adalah bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak Covid-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro.

“Di bawah GKP asal yang diumumkan sebelum ini, lebih 545,000 PKS mikro seluruh negara telah menerima manfaatnya dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1.63 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Tempoh permohonan GKP 2.0 telah dibuka antara 1 hingga 31 Oktober 2020 yang lepas.

“Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, setiap permohonan yang diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia telah disemak silang atau diverifikasi dengan data agensi kerajaan yang berkaitan termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),’ jelas beliau.

Katanya lagi, susulan proses permohonan, sukacita dimaklumkan bahawa hampir 304,000 PKS mikro layak menerima GKP 2.0.

“Jumlah ini adalah lebih daripada sasaran asal iaitu 200,000 PKS mikro. Sehubungan itu, kerajaan menganggarkan peruntukan GKP 2.0 adalah sebanyak RM912 juta, iaitu peningkatan daripada peruntukan asal sebanyak RM600 juta,’  katanya.

Jelasnya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan GKP 2.0 mulai 30 November  ini dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 27 November 2020 di Portal GKP, https://gkp.hasil.gov.my.

Menurut beliau, mengambil kira kelulusan GKP 1.0 dan GKP 2.0, jumlah keseluruhan penerima pada tahun 2020 adalah hampir 849,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.55 bilion.