Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia kini menuju 60 juta.

Setakat pagi Selasa, jumlah keseluruhan yang sudah dijangkiti Covid-19 ialah 59,488,342.

Ini berikutan lebih 540,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian sejak virus maut itu melanda Wuhan, China pada akhir tahun lalu ialah 1.40 juta. Dan angka itu terus meningkat setiap saat.

Data terbaharu Worldometers menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan 12.76 juta kes jangkitan.

Ini termasuk 158,550 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam.

AS turut berada di tangga teratas dari segi kematian dengan 263,631 kes, termasuk 914 kematian dalam 24 jam.

Ini merupakan jumlah kematian tertinggi di mana-mana negara dalam 24 jam lalu.

Ini diikuti India dengan 9.17 juta  dengan 134,251 kematian, manakala Brazil merekodkan 6.08 juta kes dengan 169,541 kematian.

Negara yang melepasi angka dua juta kes ialah Perancis  yang merekodkan 2,144,660 kes termasuk  lebih 49,000 kematian.

Rusia berada di tangga kelima, merekodkan  2,114,502 kes jangkitan  dan lebih 36,000 kematian.

Enam negara sudah mencatatkan lebih sejuta kes jangkitan, iaitu Sepanyol, United Kingdom, Itali, Argentina, Colombia dan Mexico.