KUCHING: Satu daripada sektor yang terjejas terus susulan penutupan sempadan negara kepada negara luar ialah sektor pengajian tinggi apabila pelajar asing tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Justeru, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak bersedia mempertimbangkan pelaksanaan gelembung pelajar bagi membolehkan pelajar antarabangsa memasuki negeri ini.

“Ya, mengapa tidak? Harap dalam dua tahun akan datang ancaman Covid-19 berakhir dengan adanya vaksin baharu,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian semasa Webinar Ketua Menteri bertajuk ‘Bajet Sarawak 2021: Menuju Masyarakat Bependapatan Tinggi pada 2030 anjuran Persekutuan Perniagaan Sarawak, semalam.

Kenyataan itu dibuat sebagai menjawab soalan Timbalan Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak mengenai kemungkinan melaksanakan gelembung pelajar bagi membolehkan 3,000 pelajar antarabangsa memasuki Sarawak.

Namun, mereka perlu terlebih dahulu menjalani ujian Covid-19 serta dikuarantin sebelum  dibenarkan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Menurut beliau, kaedah sedemikian telah dilaksanakan di Darwin, Australia.

Gelembung merupakan istilah baharu tidak rasmi yang merujuk kepada kluster yang anda hidup, belajar atau bekerja bersama-sama pada waktu pandemik.