KUALA LUMPUR: Pemuda Umno  Malaysia mendesak agar kerajaan menilai semula keperluan akses pembelajaran dalam talian dengan menyalurkan peruntukan tambahan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan proses pembelajaran dalam talian berjalan lancar.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara berkenaan selaras dengan laporan media mengenai dapatan kajian KPM yang menunjukkan 37 peratus daripada lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.

Menurut beliau angka tersebut bersamaan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer iaitu peranti yang menjadi prasyarat untuk membolehkan mereka belajar dalam talian akibat penutupan sekolah sehingga Januari tahun hadapan.

‘’Belanjawan 2021 ada menyentuh secara langsung bantuan kepada kelompok pelajar terbabit melalui inisiatif GLC atau GLIC di bawah seliaan Yayasan Hasanah yang akan menyumbang RM150 juta kepada Dana Cerdik untuk memberi komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah perintis,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

‘’Walaubagaimanapun, inisiatif Yayasan Hasanah itu hanya menampung tidak sampai 9% daripada 1.7 juta pelajar terbabit yang sebahagian besarnya adalah daripada kelompok B40 iaitu keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM4,800 sebulan,’’ katanya lagi.

Justeru, ujar beliau,  pergerakan itu amat berharap  agar kerajaan dapat menilai semula keperluan ini dengan menambah peruntukan kepada KPM bagi memastikan 1.7 juta pelajar tidak dinafikan hak mendapat akses kepada pendidikan dalam suasana norma baharu pembelajaran dalam talian di kala pandemik COVID-19 hari ini.