KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak percaya fitnah dapat membawa kepada kejayaan seperti pegangan segelintir pihak.

Ahli Parlimen Ketereh  itu berkata demikian mengenai poster palsu yang mendakwa beliau telah ‘berhijrah’ menyertai Bersatu.

“Seronok juga tengok poster palsu yang dibuat pihak tertentu (yang saya tahu sumbernya). Mereka itu golongan yang percaya fitnah boleh menjayakan mereka. Saya tidak percaya fitnah boleh membawa kita kepada kejayaan,” katanya melalui satu hantaran di Facebookmya.

“Saya memilih untuk berkata benar dan berterus terang. Mungkin saya mudah disalah mengertikan. Tidak mengapa. Kebenaran kadangkala memerlukan masa,” jelasnya.

Kata  Menteri Wilayah Persekutuan itu, beliau memahami semua orang ikhlas mahu Umno berjaya, cuma cara mungkin berbeza.

“Kita raikan perbezaan itu. Saya tidak semestinya betul,” katanya lagi.

“Tapi hati saya kuat berkata bahawa Umno mesti perkasakan politik taawun (kerjasama) dan taayush (wujud bersama). Rasulullah mengamalkannya,” katanya.

Katanya lagi, Umno juga perlu menjuarai penyatuan ummah, mempertahan kuasa yang berada di tangan kelompok teras, yakni orang Melayu Pribumi dan Bumiputera.

“Pada masa yang sama mengekalkan kebijaksanaan Melayu untuk taayush (co-exist – wujud bersama) dalam masyarakat majmuk. Sederhana, toleran dan memimpin ummah.

“Ini juga yang diamalkan di Daulah Islamiah yang pertama Madinatul Munawwarah oleh Baginda Rasulullah SAW.

“Berunding sesama Islam itu wajib. Bermuafakat itu suatu kebijaksanaan, bukan kelemahan,” ujarnya.

Seterusnya Annuar berkata kini parti kembali mengendong kuasa selepas 22 bulan diuji dengan kejatuhan.

“Allah SWT selamatkan kita dengan cara yang tak terfikir pun oleh kita. Dengan hanya 39/222 kerusi, kita kembali di tampuk kuasa. Ia satu rahmat yang amat besar.

“Saya doakan agar kita tidak menjadi “yang dikejar, kejar tak dapat… yang dikendong jatuh berciciran,” katanya.

Annuar juga berkata, ada pihak yang memintanya mengulas terjahan rakan-rakan terhadapnya tetapi beliau mengambil sikap tidak gemar menyerang sesama sendiri kerana tiada ‘vendetta’ atau berdendam kepada sesiapa.