PADAWAN: Dua remaja lelaki dicekup selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan aksi ‘Superman’ di Jalan FAC Matang, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata mereka yang berusia 16 dan 17 tahun ditangkap sekitar jam 11 malam dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Padawan.

“Mereka didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi Superman atau ‘fly’,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menambah motosikal milik suspek turut disita dan kedua-duanya yang tidak bersekolah kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Aidil berkata ibu bapa atau pemilik motosikal yang digunakan remaja terbabit turut diambil tindakan di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana membenarkan penunggang tanpa lesen menunggang kenderaan berkenaan.

Sementara, beliau berkata sebanyak 31 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ke atas penunggang motosikal dalam sepanjang operasi.