KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Umno dan Pas mempunyai sinergi yang meyakinkan dan mesti dioptimumkan waktu ini.

Jelasnya, dua parti ini ialah pendiri Muafakat Nasional (MN) dan diasaskan, maka kerjasama Umno dan Pas adalah sangat utuh.

“Keutamaan Umno ialah kemenangan berganda dengan kerjasama Pas. Selebihnya, biar Umno akan tentukan jalannya sendiri.

“Umno bukan dalam misi memberikan ihsan kepada mana-mana pihak untuk bernafas dan meraih kemenangan dengan pertolongan Umno. Umno juga tidak mahu dipaksa menerima sesiapa untuk menjadi rakan politiknya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Khaled, Umno sangat menghargai setia kawan Pas dan kerjasama keduanya telah banyak membuahkan kebaikan kepada politik Melayu Islam di Malaysia.

“Walaupun Pas menyertai PN, Umno tidak menghalangnya kerana Umno memahami dan menghormati kedudukan PAS. Lagipun piagam MN tidak pernah menghalang Pas bekerjasama dengan sesiapapun, maka demikian juga yang Umno harapkan daripada Pas tentang hubungan Umno dengan Bersatu.

“Umno yakin Pas tidak akan memaksa Umno untuk menerima Bersatu apalagi memberikan kerusi kepada Bersatu dengan sewenangnya,” katanya.

Katanya, Umno dan Pas menyedari bahawa kepentingan tertinggi ialah rundingan kerusi pilihan raya antara keduanya sebagai sebahagian dari MN.

“PAS pasti menyedari bahawa akan ada kerusi yang Umno akan bertembung dengan Bersatu. Oleh kerana Umno bukan sebahagian dari PN, maka apa jua rundingan dengan Bersatu adalah untuk Umno lakukan terus dengan PN melalui BN.

“Selain PAS, kerjasama Umno dengan parti yang lain adalah berdasarkan formula kemampuan parti tersebut memberikan Umno ‘kelebihan strategik’ untuk kebolehmenangan,” katanya lagi.