SEJAK menerajui Sarawak tiga tahun lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membentangkan empat Bajet Negeri yang berlegar sekitar RM10 bilion. Malah boleh dikatakan antara bajet terbesar bagi mana-mana negeri di Malaysia. Ikuti bual bicara dan perkongsian Ketua Menteri mengenai Bajet Negeri Sarawak dalam Wawancara Khas Pascabajet 2021 yang disiarkan menerusi TVS pada Jumaat lalu.

TVS: Melihat kepada jumlah bajet sejak Datuk Patinggi menerajui Sarawak, ada kerisauan dalam kalangan sesetengah pihak khususnya pembangkang yang mendakwa rizab negeri semakin terhakis. Apatah lagi dalam Bajet 2021, ada lebihan bajet RM180 juta. Jadi, bagaimana Datuk Patinggi dapat kemukakan bajet yang begitu besar dan berlebihan pula?

Ketua Menteri: Ya… kalau kita lihat latar belakang peruntukan untuk pembangunan di Sarawak, ia selalunya berkisar antara RM4 bilion dengan yang paling tinggi RM7 bilion. Apabila saya mengambil alih, saya melihat beberapa peruntukan dalam perlembagaan yang membolehkan kita mendapat pendapatan lebihan dari sudut cukai. Saya melihat potensi untuk kita mendapatkan pendapatan yang lebih dan yang mampu kita laksanakan.
Sebab itu saya telah memberi beberapa pendekatan baharu.

Pertamanya, kita menubuhkan bank pembangunan kita sendiri iaitu Bank Pembangunan Sarawak (DBoS) dan kita akan mempunyai dana menerusi sistem perbankan yang sedia ada. DBoS telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan menjadi satu saluran untuk kita mendapat dana.
Yang keduanya, kita melihat bahawa peruntukan untuk melaksanakan cukai jualan amat luas kepada komoditi dan produk yang boleh kita keluarkan. Jadi, saya telah membuat satu perkiraan, kalau kita laksanakan semua ini – pendapatan kita boleh menjangkau lebih daripada RM10 bilion.

Walaupun di sebalik segala cabaran ekonomi dunia dan global yang teruk? Komen Datuk Patinggi.

Ya, kita mengambil kira apa yang berlaku di seluruh dunia kerana selalunya ia berkait rapat dengan harga minyak dan gas. Keduanya, keadaan ekonomi global dan kita melihat bahawa bahan mentah yang ada mungkin tidak terjejas oleh keadaan sedemikian.
Dengan adanya kiraan yang saya lihat, maka saya buat satu pendekatan untuk kita mendapat pendapatan yang lebih dan untuk diberi balik kepada pembangunan seperti yang dihendaki oleh negeri kita.

Satu hal yang menarik seperti bajet yang dibentangkan Datuk Patinggi sebelum ini, 62 peratus untuk pembangunan. Lebih menarik lagi sebanyak 67 peratus untuk pembangunan luar bandar. Jadi apakah sebenarnya falsafah pemikiran di sebalik nisbah sebegitu?

Banyak orang mengatakan bahawa Sarawak kaya tapi rakyatnya miskin. Ini adalah satu paradoks. Jadi dari sudut kekayaan, memang negeri kita kaya. Dari sudut per kapita kita tinggi tetapi jangan lupa bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terangkum jumlah barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan termasuk hasil minyak dan gas yang semuanya pergi ke Putra Jaya menerusi Petronas.

Jadi, ini tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi kita. Sebab itu, apa yang saya buat dengan adanya peruntukan lebihan ini, kita agihkan untuk pembangunan dan infrastruktur yang penting. Kerana kalau kita mahu, Sarawak terus maju, kita mesti mempunyai infrastruktur terkini termasuk jalan raya dan jambatan, yang keduanya, bekalan elektrik dan air seterusnya Internet.

Ini adalah perkara sangat penting, sebab itu kita salurkan peruntukan yang besar kepada kawasan yang memerlukan perkara tersebut. Secara kebetulan, memang luar bandar berkehendakkan perkara ini. Jadi, memang kita agih- kan peruntukan kepada luar bandar untuk meningkatkan infrastruktur membangunkan ekonomi kita.

Keperluan luar bandar yang sangat penting juga ialah pendidikan. Ia berkehendakkan infrastruktur. Kalau tidak mereka tidak dapat belajar atau belajar dalam gelap. Justeru, kita mesti menyalurkan bekalan elektrik. Begitu juga dengan sektor pertanian yang berkehendakkan air.

Inilah apa disebut sebagai ekosistem dan harus kita sediakan untuk melonjakkan kegiatan ekonomi Sarawak menuju ke 2030.

Yang menariknya Datuk Patinggi, sepanjang tahun kita berhadapan dengan kekurangan pendapatan tetapi pada tahun hadapan Sarawak menyasarkan RM10.12 bilion pendapatan.

Bagaimana Datuk Patinggi boleh jelaskan?

Memang ya, mungkin Allah sayang dengan kita. Kita mempunyai satu sumber pendapatan yang baik. Pertamanya kita ada hasil daripada cukai jualan minyak dan gas untuk tahun ini, lebih kurang RM3.2 bilion.

Kita juga ada hasil cukai kelapa sawit, yang itu tidak banyak lebih kurang antara RM800 juta hingga RM1 bilion.
Kita juga mempunyai pendapatan daripada hasil bukan cukai. Umpamanya, royalti daripada air sekitar RM600 juta, kita juga ada dividen dan pendapatan daripada faedah.
Lalu kita kumpul semua itu, kita dapat pendapatan lebih RM10 bilion dan kira-kira 50 peratus daripada hasil cukai jualan yang lain. Bermakna kira-kira RM5 bilion daripada cukai jualan itu belum habis lagi.

Jadi saya rasa, pada masa hadapan ada lagi yang boleh kita gunakan untuk mendapatkan hasil yang lebih daripada apa yang telah saya katakan tadi.

Orang tanya saya kenapa waktu ini kita tidak belanja lebih?

Jawapannya kerana kapasiti kita. Tahun ini kita ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebab itu perbelanjaan kita kira-kira hampir RM10 bilion juga – RM9.8 bilion yang kita sediakan untuk tahun ini.
Selain itu, kita bantu rakyat menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) disebabkan Covid-19.

Perbelanjaan untuk tujuan itu, lebih kurang RM2.6 bilion. Jadi, Alhamdulillah pengurusan kita masih baik dari sudut kewangan.

Bagaimana agaknya Bajet Persekutuan dapat melengkapkan Bajet Negeri? Apakah Datuk Patinggi puas dengan peruntukan itu?

Ya, kita diberikan peruntukan RM4.5 bilion dari sudut infra dan mereka juga ada memberi kepada kementerian lain. Bagi saya, Alhamdulillah bolehlah untuk menambah.
Bermakna kalau kita ada lebih kurang RM10 bilion ditambah dengan Persekutuan RM4.5 bi-lion, kita ada lebih kurang RM15 bilion. Ini satu angka yang agak besar. Bajet negeri-negeri lain tidak sampai RM9 bilion, ada yang RM2 bilion, ada RM3 bilion dan ada yang kurang RM1 bilion. Kita di Sarawak, dicampurkan kedua-duanya, lebih kurang RM15 bilion.

Jadi apakah ia cukup untuk memacu Sarawak ke hadapan dalam semua bidang?

Satu tahun cukup…cuma saya takut kapasiti untuk melaksanakannya. Sama ada kontraktor kita melaksanakannya dengan cekap atau tidak.

Mengikuti ucapan Datuk Patinggi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, daripada peruntukan itu 67 peratus untuk luar bandar dan 33 peratus untuk bandar. Dalam konteks kadar kemiskinan di Sarawak sebanyak sembilan peratus, bagaimana agaknya peruntukan itu dapat menangani masalah kemiskinan termasuk isu infrastruktur dan utiliti di luar bandar?

Kita mesti mempunyai perancangan jangka panjang dan pada masa yang sama, kita mesti mengambil kira sektor yang penting untuk melonjakkan pertumbuhan di kawasan ekonomi luar bandar. Dalam peruntukan yang kita beri RM99.8 bilion, sekitar RM6 bilion lebih untuk pembangunan – 67 peratus kita beri kepada luar bandar, selebihnya RM4 bilion kepada bandar.
Tiga komponen yang mesti kita tekankan dalam pembangunan luar bandar. Yang pertama, jalan raya dan jambatan, yang kedua bekalan elektrik dan air dan yang ketiga ialah Internet. Saya hendak menyentuh berkenaan Internet yang kita ambil kira sebagai satu infrastruktur penting. Ia bukan lagi dianggap sebagai satu kemewahan.
Pada 2017, ketika saya mengambil alih, kita beri peruntukan yang besar kepada Internet kerana ia perkara penting untuk sekolah, perniagaan dan dalam semua bidang atau sektor.
Pada masa ini, kita bermula dua tahun, jadi kita tidak dapat melaksanakan secara sekali gus. Sekarang ini, ada sesetengah tempat belum mendapat capaian rangkaian Internet dan harus dirancang untuk seluruh Sarawak.

Yang kedua ialah bekalan elektrik dan air yang harus kita tingkatkan. Selain itu, jalan raya telah kita sambungkan projek perancangan dalam bajet ini dan diagihkan kepada tiga komponen yang penting dalam membangunkan luar bandar.

Jika ini dirancang dengan baik dan dilaksanakan, sasaran saya pada tahun 2024 – perkara ini telah selesai. Apa yang tinggal cuma bakat manusia seperti petani dan nelayan yang perlu diberi bantuan kemahiran seperti kursus pendidikan, seminar dan sebagainya. Ekosistem ini yang dapat melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar di luar bandar. Akhirnya masyarakat di luar bandar juga mendapat manfaat.

Apabila KDNK meningkat, pendapatan juga meningkat dengan sendirinya malah kadar kemiskinan juga menurun. Bila agaknya sasaran Datuk Patinggi sendiri?

Sasaran saya pada 2030, kita akan menjadi negeri yang maju. Kadar kemiskinan menurun jadi kadar pendapatan harus ditingkatkan. Untuk meningkatkan pendapatan, kegiatan ekonomi harus dirancakkan termasuk di luar bandar. Sekiranya ini berlaku, tiada jurang perbezaan dengan luar bandar. Dalam bandar menjadi pusat alam semula jadi dan pusat perdagangan manakala luar bandar pula menjadi pusat pengeluaran. Sektor pusat perkhidmatan biasanya di bandar. Ini sekali gus menyokong pengeluaran di luar bandar. Maknanya, seluruh sistem ekonomi berjalan dengan baik.

Ini bererti seluruh kawasan Sarawak akan menerima pembangunan sama rata?

Ya, ia harus bersepadu, komponen ekonomi ini harus kita lihat dari semua sudut. Kerana asasnya, berjual beli.

Apa yang dijual? Dan siapa pembeli? Kita perlu kenal pasti produk yang boleh dipasarkan ke pasaran antarabangsa yang akan memberi pendapatan kepada kita. Sebab itu Internet amat penting. Saya rasa pada tahun keempat, kita akan mencapai Internet secara menyeluruh.

Sekarang ini isunya mengenai kelajuan Internet. Jadi Datuk Patinggi yakin kita dapat selesaikan masalah akses dan kelajuannya?

Ya, Insya-Allah kita pasti dapat selesaikannya. Kita mesti tahu bahawa banyak lagi tempat yang tidak mempunyai akses Internet. Saya juga meluluskan RM150 juta untuk kita melebarkan rangkaian Internet ke seluruh peringkat menggunakan sistem zon. Sekiranya telah dilaksanakan, ia bermakna pengaksesan ini akan menyeluruh.

Ada perancangan untuk menambah menara telekomunikasi?

Menara memang ada, kita sudah membangunkan sebanyak 300 menara dan lagi 300 pada tahun ini. Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga hendak membangunkan 646 menara, bermakna pada tahun 2023, sejumlah 1,200 menara telekomunikasi dibangunkan.

Berapa jumlah menara telekomunikasi yang tepat untuk Sarawak?

Sebanyak 1,200 menara, sudah mencukupi tetapi operator yang diperlukan untuk memasang peranti pada menara, dijangka tidak mencukupi. Oleh itu, kita perlukan jalan penyelesaian. Katakanlah kita menggunakan khidmat Telekom Malaysia, Digi dan lain-lain, rangkaian mereka tidak akan sampai ke luar bandar kerana tidak ada cawangan mereka di sana. Malah ini akan merugikan mereka. Jalan penyelesaiannya, kerajaan perlu memiliki akses telekomunikasi sendiri. Selepas itu, kita di beri subsidi supaya takrif Internet akan lebih rendah. Ya, kita akan umumkan apabila ia siap sepenuhnya kelak. Mungkin dalam masa setahun dua.

Bercakap mengenai inisiatif dalam penggulungan pada Jumaat lepas, Datuk Patinggi sendiri ada menyatakan langkah ke depan Sarawak. Ada 12 inisiatif yang dinyatakan, boleh nyatakan lebih lanjut mengenai inisiatif tersebut?

Kita menuju ke era tahun 2030 dan dari sekarang tahun 2021 – jalan sudah di kenal pasti. Inisiatif yang pertama iaitu digital ekonomi, inovasi, transformasi pertanian, kelestarian, kemajuan pendidikan dan bakat, tarikan budaya dan pelancongan. Ini penting untuk menuju 2030.

Pendidikan di bawah kuasa Persekutuan bermakna kita hendaklah memperkasakan sistem pendidikan. Sebab itu, saya tubuhkan sekolah antarabangsa. Kita tekankan penggunaan bahasa Inggeris dan kita merumuskan komponen ini menjadi satu gerakan.
Yang ketiganya, bagaimana kita merumuskan semua komponen menjadi satu gerakan seperti sebuah kereta untuk berjalan bersama-sama menuju ke destinasi. Inilah yang sangat penting untuk 12 inisiatif tersebut.

Salah satu inisiatif yang mendapat respons yang cukup panas ialah pengangkutan. Ini sesuatu yang cukup menarik kerana di dalamnya terkan-dung pelbagai rancangan.

Ya, memang pengangkutan awam sangat penting untuk kita berhubung antara satu sama lain selain kepentingan dari sudut pelancongan. Kita hendaklah mengambil kira sistem pengangkutan yang mudah digunakan oleh rakyat dan pelancong yang melawat ke tempat kita.
Pada tahun ini, kita memperuntukkan sebanyak RM360 juta. Pertamanya untuk membangunkan Transit Aliran Autonomi (ART) dari Kuching ke Kota Samarahan dan keduanya, di Bintulu dan Kidurong, Samalaju.

ART hanya kita gunakan sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Kuching dan Kota Samarahan. Seterusnya, pengangkutan ini juga dapat digunakan oleh pelancong untuk menuju ke Santubong, Damai juga ke Lundu dan Bau.

Bila agaknya kita dapat melihat projek ini dilaksanakan dan termasuk pelaksanaan ART di Kidurong?

Kita akan melaksanakan projek ini pada tahun 2021 dan dijangka selesai pada 2025 hingga 2026. Untuk kawasan Bintulu dan Kidurong, pelaksanaannya agak mudah kerana kita hanya perlu melebarkan jalan sedia ada sebagai laluan ART.

Menurut Datuk Patinggi, negara manakah yang dirujuk sebagai model inspirasi dalam pelaksanaan projek ini.

Sebenarnya, mesin teknologi ini berasal dari Jerman dan diaplikasikan oleh negara China. Jadi, apa yang saya lihat penggunaan ART ini jauh lebih murah berbanding Transit Aliran Ringan (LRT) kerana penggunaannya juga seperti bas atau kurang lebih macam kereta api.

Seterusnya, menyentuh mengenai satu lagi insentif sebagai langkah ke hadapan Sarawak dalam perbankan digital. Boleh Datuk Patinggi jelaskan sedikit mengenai idea sebenar isu ini?

Idea dan konsep perbankan digital sudah lama diaplikasikan di banyak negara lain. Ini termasuk negara Singapura. Jadi, setakat ini, kita di Sarawak memohon untuk mendapatkan lesen perbankan digital dan kini dalam proses menunggu keputusan daripada bank negara Malaysia mengenainya. Perbankan digital merupakan satu sistem yang banyak menggunakan peranti dari sudut transaksi dana ataupun kewangan yang menggantikan perbankan fizikal.

Dengan cara ini, kita bebas untuk melakukan urusniaga tanpa mengira tempat yang sememangnya telah memudahkan semua pengguna. Setakat ini, saya melihat Sarawak negeri pertama yang mempunyai sistem pembayaran mudah alih menerusi SarawakPay.
Inisiatif ini dilihat berkesan dan tidak mempunyai banyak perbezaan jika diban-dingkan dengan perbankan digital. Saya difahamkan bahawa terdapat dua negeri yang memohon perbankan digital iaitu Sarawak dan Johor.

Dari segi bakat digital yang Datuk Patinggi sebut, bagaimanakah ia dapat dikaitkan dengan sistem perbankan digital?

Sebab itu, kita akan memberikan penekanan kepada infrastruktur digital dan jika kita dapat menjangkau kepada 5G dan di luar bandar sekurang-kurangnya 3G ataupun 4G bermakna kita dapat menguasai perniagaan berlandaskan ekosistem digital.
Dengan kejayaan beberapa pencapaian digital berlaku pada syarikat Ali Baba.com dan Amerika Syarikat, kita akan menggunakan pendekatan ini untuk meluaskan sasaran yang bukan hanya bergantung kepada negeri Sarawak ataupun Malaysia malah hingga ke luar negara.

Contohnya, perniagaan sayur midin yang dijual di Singapura dan bayarannya dibuat melalui perbankan digital antara kita dengan Singapura.

Kewujudan perbankan digital banyak menyelesaikan isu dialami oleh pengguna dalam perbankan fizikal. Boleh Datuk Patinggi mengulas sedikit mengenai hal ini?

Jika kita meneliti pembangunan bank sekarang ini, kita boleh sifatkan bahawa bank runcit agak ketinggalan zaman kerana tiada bank yang memberi secara fizikal. Pada masa kini, semua menggunakan perbankan digital dan jika ia berubah kosnya lebih efisien sekali gus dapat meningkatkan sistem perdagangan dan ekonomi kita.

Datuk Patinggi, menyentuh mengenai Dana Kekayaan Berdaulat, ramai rakyat yang belum faham mengenainya. Boleh Datuk Patinggi beri sedikit pencerahan ataupun negara mana yang menjadi model kita?

Ya, sebenarnya kita mempunyai hasil pendapatan sebanyak RM10 bilion dan apabila infrastruktur kita siap sepenuhnya, maka kita mempunyai simpanan yang mencukupi. Jadi simpanan ini untuk keperluan masa depan kita. Jika ia diurus dengan baik, maka akan memberikan pulangan yang baik dari sudut pelaburan.

Insya-Allah saya yakin pendapatan kita juga akan meningkat. Dengan hasil ini, kita boleh menggunakannya untuk memberi pendidikan percuma dan juga kegunaan lain. Apa yang paling penting, pihak pe- ngurusannya perlu bersikap amanah. Antara negara yang kita boleh selidiki menggunakan sistem ini Norway. Pendapatan Norway sama seperti kita dan hasilnya berasaskan minyak dan sumber. Apa yang dilakukan ialah hasil pendapatan yang cukup untuk pembangunan negara manakala lebihannya akan dilaburkan kepada industri yang memberi pulangan kepada negara. Jadi, ini satu pendekatan yang kita boleh kaji.

Selain daripada Norway, negara manakah yang juga boleh dijadikan sebagai rujukan?

Negara Singapura. Bagaimanapun, asas ekonomi Singapura tidak sama dengan kita kerana mereka mempunyai satu lagi pertubuhan khas untuk menguruskan dana negara.
Selain itu, hasil mereka juga adalah merupakan pulangan daripada sistem ekonomi yang berbeza dengan kita. Jadi, bagi saya negara yang paling tepat untuk kita kaji dan model terbaik ialah Norway. Untuk ini, kita akan menghantar mereka yang lebih pakar untuk mengkajinya.

Mungkin dapat digabungkan kedua-duanya?

Sebab itu, kita berikan kepada orang yang pakar dalam hal ini untuk mengkajinya, tetapi yang penting perlu amanah. Maksudnya, kerajaan itu mestilah ama-nah.

Bagaimana impaknya kepada pendapatan Sarawak pada masa hadapan?

Katakan kita ada perbelanjaaan RM10 bilion, kita ada simpanan RM30 bilion, apa yang hendak lakukan selebihnya? Jadi kita laburkan. Katakan esok, sumber minyak sudah habis. Pelaburan ini yang akan memberikan pendapatan kepada negeri. Asalkan negeri jangan terlalu boros.

Kita berbelanja RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah daif dan telah dibayar kepada Kerajaan Persekutuan. Komen Datuk Patinggi?

Ya, sudah dibayar. Tindakan selanjutnya terpulang kepada mereka. Untuk membuat dan membangun sekolah daif di negeri ini pada hemat saya, boleh dilakukan. Lagipun sekarang, negara luar sudah melihat Sarawak – mengeluarkan hidrogen. Orang ketawa dengan saya – apa Abang Jo bercakap pasal hidrogen ini.

Apabila saya bercakap mengenai hidrogen, banyak pihak yang berkata – apa dicakap Abang Jo ini. Mungkin mereka ingat hidrogen itu bom. Apa yang berlaku ialah kita sudah membuat kajian. Kita melihat kepada pergerakan pembangunan yang berlaku di seluruh dunia.

Hari ini ada masalah alam sekitar dan pelepasan karbon dioksida malah dunia telah bersidang mengenainya. Mereka berkehendakkan tenaga yang bersih supaya manusia dapat menghidu udara bersih. Salah satu sebab pandemik Covid-19, mungkin kerana udara kita tidak bersih. Pakar membuat kajian dan satu-satu tenaga yang bersih bersumberkan hidrogen. Dengan bacaan ini, saya sendiri melihat teknologi ini dua tahun lepas.

Pertama saya pergi ke Itali, kedua ke Jerman, ketiga Perancis dan keempat ke Korea Selatan. Saya nampak bahawa semua negara ini membuat kajian me-ngenai hidrogen.
Satu sumbernya, yang tiada kena-mengena dengan hidro karbon adalah air, kerana air ada h2o manakala hidrogen dengan oksigen. Mereka mempunyai satu proses elektrolisis (proses penga-liran elektrik) yang memisahkan hidrogen dengan oksigen daripada air.
Kita tahu, negeri kita banyak air dan air kita boleh digunakan untuk tenaga hidro. Untuk memproses hidrogen, ia memerlukan tenaga untuk memisahkannya. Jadi apabila saya buat kajian ini. Mula-mula saya juga berfikir mengenai hidrogen bom dan ia agak berbahaya.
Tetapi saintis mengatakan ia tidak bahaya. Jadi saya cari di mana tempat orang yang menggunakan kereta hidrogen dan tidak berbahaya.

Saya pergi ke Perancis ditemani Tan Sri Morshidi dan Tan Sri George Chan. Kami mencari stesen minyak yang menjual hidrogen untuk kereta malah di sana juga sudah ada teksi hidrogen. Saya mencari lokasi stesen ini, rupa-rupanya berdekatan Menara Eiffel. Saya nampak mereka mengisi hidrogen dalam kereta. Kalau ia berbahaya, bagaimana Perancis boleh meletakkan stesen itu di tempat tumpuan pelancong? Jadi, ini bermakna ia tidak berbahaya.

Di situlah saya melihat teknologi ini. Apabila kembali, saya membuat prototaip dan meminta Sarawak Energy Berhad (SEB) melaksanakannya.

Memang pada waktu ini kos pengeluarannya agak tinggi, tetapi apabila saya bercakap mengenainya, kita mempunyai banyak sumber air. Sekarang negara Jepun hendak bekerjasama dengan kita, membeli balik hidrogen. Sebab itu ada perjanjian antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan dua syarikat dari Jepun, Sumitomo Corporation dan Eneos Corporation untuk mengeluarkan hidrogen. Selepas itu, Petronas pula bekerjasama dengan kita untuk mengkaji penekoraan mengenai potensi hidrogen.

Potensinya besar, kalau mengikut angka yang Datuk Patinggi petik, dari segi pasaran, ia mencecah USD11 trilion?

Ya, sebab itu apabila pembangkang membantah, saya membuat satu dokumen daripada European Union Hidrogen Strategy (Strategi Hidrogen Kesatuan Eropah) yang membuktikan pada 2030 dengan 2050, permintaan pasaran terdahap hidrogen sebanyak USD11 trilion.

Kalau jumlah itu berkehendakkan hidrogen bersih daripada air seperti teknologi hijau, kita ada banyak air. Kita ada air dari Murum, Batang Ai, Baleh dan potensi ini yang kita ada.
Kiranya, kita ambil USD1 trilion daripada USD11 trilion itu, bayangkan pendapatan kita peroleh. Pada masa ini, negara yang mendahului dalam membekalkan tenaga hidrogen ialah Australia. Namun kalau GPS masih memerintah, kita akan terus berada di landasan yang betul menuju ke arah itu.

Datuk Patinggi meletakkan Sarawak atas landasan yang tepat. Jika kita terus bergerak ke hadapan dengan bajet kira-kira RM10 bilion itu, mungkin visi 2030 dapat direalisasikan. Apakah harapan Datuk Patinggi sendiri mengenai formula ini dan bagaimana membolehkan impian ini dicapai.

Saya rasa yang penting adalah produktiviti kita sendiri. Rakyat kita sendiri mesti bersedia untuk menghadapi transformasi yang mempunyai potensi yang baik kepada negeri dan negara. Kita mesti bersedia ke arah itu. Keduanya, peluang pekerjaan mesti diwujudkan melalui teknologi terkini yang saya nampak masa hadapan lebih cerah melalui teknologi.
Kalau kita ada yang mempunyai teknologi dan pakar, mereka boleh menjadi perkakas untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak.

Bermakna mereka ada kepandaian dan kemahiran. Begitu juga dengan TV sekarang yang berubah kepada satu sistem baharu. Bermakna ia terpulang kepada rakyat itu sendiri. Saya sendiri pun terpaksa banyak membaca, melihat kepada potensi sama ada sesuai atau tidak kepada ekosistem negeri ini.

Jadi kalau, kita sudah baca dan rasa ia boleh, kita mesti mempunyai keyakinan dan berani untuk melaksanakkannya, tetapi jangan berani membuta, mesti berani dengan berfakta.
Rakyat mesti ada ilmu, kemahiran dan sikap yang betul, ini penting. Saya yakin masa hadapan kita cerah. Semua usaha ini untuk generasi akan datang. Saya hanya meletakkan asas, yang lain terpulang kepada generasi muda.