BINTULU: Ancaman wabak pandemik COVID-19 ini masih lagi berlaku di negara kita termasuk di dunia dan ini semestinya memerlukan kerjasama dan bantuan daripada semua pihak untuk menghapuskannya.

Menurut Menteri di Jabatan Ketua Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpili, setiap masyarakat perlu bekerjasama dan menyokong tindakan barisan hadapan dalam membanteras penularan COVID-19. 

“Kalau semua pihak bekerjasama menyokong barisan hadapan, kita akan menang.

“Sekarang ini kita masih belum menang dan belum selesai lagi.

“Kita perlu memenanginya, mungkin bukan sekarang, bukan hari ini, bukan sebulan dan bukan dua bulan sehingga kita menjadi kosong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis BDA Serah Sumbangan Kelab Rekreasi Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di Poliklinik Bintulu pada Sabtu.

Pada majlis itu, Timbalan Pengerusi BDA Haidar Khan Asghar Khan telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Dr. Melvin Chung Hsien Liang Penasihat Kelab Rekreasi Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu merangkap Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu.

Mengenai bantuan ini, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu yang juga Penasihat Kelab Rekreasi Pejabat Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) atas sumbangan ini yang cukup bermakna ini.

“Saya selaku Penasihat Kelab Rekreasi Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) atas sumbangan yang diberikan.

“Saya percaya sumbangan yang diberikan ini akan dapat mengurangkan bebanan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Bintulu,” ujarnya.

Keadaan ini mencerminkan keprihatinan BDA yang berpegang kepada slogan” Together We Make Bintulu Better” dalam menjadikan Bintulu lebih baik lagi.

Hadir sama Pengurus Besar BDA Muhamad Yakup Kari dan Pengerusi Kelab Rekreasi Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Mohd Shahibul Shafiq.