MUKAH: Penglibatan pensyarah dalam menganjurkan pameran dan pertandingan projek pelajar semester akhir Pameran Projek Mekanikal (MPE) Sesi Jun 2020 membantu memantapkan lagi kebolehan pelajar Politeknik Mukah, khsususnya pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.

Pengarah Politeknik Mukah Dullah Muluk berkata, penyertaan pelajar pula membolehkan mereka memperoleh pengalaman berharga semasa menuntut di institut pengajian tinggi.

Beliau berkata, program sedemikian dapat mencungkil bakat, potensi serta kreativiti pelajar supaya diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Pada akhir pengajian kelak, semua pelajar dapat mencapai matlamat kursus projek iaitu untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran menyelesaikan masalah kajian akademik secara saintifik dan sistematik dalam melahirkan graduan yang kompeten,” katanya.

Sebanyak 26 kumpulan pelajar mengikuti pameran dan pertandingan projek tersebut. Juara dimenangi oleh kumpulan yang terdiri daripada Damain Lusat, Ryan Ronsen, Azizal Wafi dan Davis Engan; tempat kedua kumpulan yang diselia oleh Che Susilawati Che Brahim manakala tempat ketiga diselia oleh Aifan Serail.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Rosidi Muhamad Nor menjelaskan, projek itu memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh.

“Seterusnya mempamerkan keupayaan dalam merealisasikan idea, kreativiti, inovasi dan penyelesaian masalah ke arah penghasilan projek yang mempunyai nilai komersial dan berdaya saing serta dapat melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Katanya, pelaksanaan projek merangkumi semua proses pengajaran dan pembelajaran iaitu secara teori, praktikal, penulisan ilmiah, pemantauan, penilaian dan lain-lain.

Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik Mohd Sani Said dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Iskandar Reduan.