KABONG: Bantuan untuk mangsa kebakaran di sini terus hadir dan diterima oleh tiga pemilik rumah yang musnah dalam tragedi kebakaran baru-baru ini.

Pada jam 9 pagi tadi Kumpulan Bekas Pelajar Sekolah Kebangsaan Abang Leman ( KBPSKAL )1975-1980 tampil menyerah sumbangan untuk membantu meringankan bebanan mangsa.

Kumpulan berkenaan menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan juga barangan keperluan harian.

Pengerusi KBPSKAL 1975-1980- Dulhadi Ismail

Pengerusi KBPSKAL, Dulhadi Ismail berkata, sumbangan berkenaan diperoleh hasil kutipan daripada ahli kumpulan tersebut yang bersimpati dengan nasib mangsa yang kini hilang kediaman dan harta benda akibat tragedi kebakaran pada pagi 2 November lalu.

“Mangsa berdepan tekanan selepas hilang harta benda dan dokumen penting dalam kebakaran.Pihak kami rasa terpanggil untuk membantu walaupun tak seberapa tapi setidak-tidaknya dapat meringankan sedikit bebanan yang mereka tanggung lebih-lebih lagi dalam situasi negara berdepan pandemik Covid-19.

“Saya dengan ini juga ingin menyeru kepada mana-mana pihak yang berkemampuan supaya sama-sama tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa kebakaran pada masa kini,” ujarnya.