BAU: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.3 juta kepada permohonan yang diterima dari kawasan Tasik Biru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, peruntukan yang disalurkan adalah mengikut permohonan yang diterima dahulu dan juga mengikut kertas kerja permohonan.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima permohonan sebanyak RM1.6 juta sebelum ini dan hanya RM1.3 juta diluluskan berdasarkan kriteria permohonan yang diterima.

“Sebanyak RM1.6 juta permohonan telah diterima dari kawasan DUN Tasik Biru pada tahun ini, namun peruntukan diberi adalah mengikut mana-mana permohonan yang diterima awal dahulu dan juga mengikut kertas kerja permohonan.

“Begitu juga jikalau jumlah peruntukan yang dimohon adalah terlalu besar ianya tidak dapat diberi sekaligus tetapi secara berperingkat mengikut jumlah yang telah dimohon,” katanya semasa majlis penyerahan cek UNIFOR fasa 2 tahun 2020 bagi kawasan Tasik Biru di Kampung Sudoh Singai Bau pada Ahad.

Dalam pada itu ujarnya, Pusat Khidmat DUN Tasik Biru sentiasa memastikan setiap jumlah peruntukan yang dimohon kepada UNIFOR dipenuhi.

“Pada masa sama, kita menyeru pihak Gereja yang menerima dana ini agar membuat laporan kepada pihak UNIFOR mengetahui bagaimana peruntukan tersebut digunakan,” jelasnya.