KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini dan menjadikan keseluruhan kes positif di negeri ini kekal sebanyak 1,055 kes.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing berkata, tiada kluster baharu dilaporkan dan terdapat enam kluster yang masih aktif di Sarawak.

“Antaranya adalah Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas di Kuching,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Masing, terdapat lima kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 982 orang atau 93.08 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.

“Manakala, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 54 orang iaitu 48 kes di wad pengasingan di HUS dan enam kes di Hospital Miri,” ujarnya.

Beliau memberitahu, setakat hari ini juga terdapat sembilan individu dalam siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan dan satu PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Selain itu, seramai 304 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 33 buah hotel dan SC Bukan Hotel adalah seramai 3,103 orang dan seramai 33,285 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin,” jelasnya.