BINTULU: Sebanyak RM20,000 dana disumbangkan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) kepada Kelab Rekreasi Pejabat Kesihatan di sini, Sabtu.

Penyerahan berbentuk cek disampaikan Timbalan Pengerusi BDA, Haidar Khan Asghar Khan dan disaksikan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip dan Pengurus Besar BDA, Muhamad Yakup Kari.

Berucap pada majlis itu, Talib mengajak masyarakat terus mempraktikkan serta membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan harian dengan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penasihat Kelab merangkap Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Bintulu, Dr. Melvin Chung Hsien Liang pula berkata, sumbangan ini membantu memastikan kelancaran pengurusan klinik serta kesiapsiagaan menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Katanya, pemberian ini memberikan keselesaan kepada pelanggan semasa mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Ini kerana, bilangan khemah sedia ada masih tidak mencukupi untuk menampung bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan atau saringan Covid-19 di sini.

“Malah, kami terpaksa meminjam khemah daripada Pejabat Residen, Jabatan Kerja Raya dan BDA,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan daripada BDA di sini, Sabtu.