KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa segelintir ahli lupa bahawa Umno ialah parti yang kalah dan sudah jatuh dalam PRU-14  disifatkan sebagai mempertahankan kejujuran politik, kata Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau  berkata pandangan itu  bertujuan mempertahankan agenda penyatuan ummah, kuasa politik ummah dan memastikan Umno tidak tersilap langkah dalam percaturan politik menjelang PRU-15.

Menurut beliau, pendapat itu sekali gus bukan mempertahankan Bersatu atau Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya yakin Annuar bukan bercakap bagi pihak Bersatu dan mendahului Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam soal taktikal” katanya dalam satu kenyataan..

“Saya percaya Annuar hanya mempertahankan kejujuran politik iaitu bercakap benar dan tidak menyembunyikan fakta sebenar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya lagi.

Kata Tun Faisal lagi, tidak wajar untuk terus menerus memainkan naratif palsu mengenai PRN Sabah yang direka-reka untuk memberi justifikasi kepada usul menyokong  Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara menyemarakkan permusuhan dengan Bersatu.

“Saya berdoa supaya Ahli MKT, ahli UMNO dan cybertrooper berbayar yang memainkan naratif palsu, sentimen kebencian dan anti penyatuan Ummah ini segera insaf dan kembali kepada asas perjuangan sebenar iaitu pemerintah Islam, permuafakatan Ummah, penyatuan bangsa, ‘NO Anwar dan NO DAP.’,’ tegasnya

“Jangan bersubahat dengan penyebar naratif palsu dan usaha menghalalkan sokongan terhadap Anwar,” katanya yang Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, Annuar mungkin dilihat seolah-olah bersendirian dalam menyatakan perkara tersebut secara terbuka, namun hakikatnya sebaliknya.

“(Ini kerana) tiga kali usul menyokong Anwar dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi UMNO (dan) tiga kali juga usul ini ditolak. Apakah maksudnya,” soal beliau.