JUMLAH kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia kini  menuju ke angka 59 juta.

Setakat pagi ini, jumlah yang dijangkiti sudah mencecah angka 58, 970,525.

Ini berikutan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian pula sudah mencapai 1.39 juta manakala lebih 40 juta sudah pulih.

Data terbaharu  Worldometers menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan 12.58 juta kes jangkitan, termasuk hampir setengah juta kes baharu.

AS juga di tangga teratas dari segi kematian dengan lebih 262,000 kes.

Ini diikuti India dengan 9.14 juta kes jangkitan dengan lebih 133,000 kematian, manakala Brazil merekodkan 6.07 juta kes dengan lebih 169,000 kematian.

Negara yang melepasi angka dua juta kes ialah Perancis (2,140,208) dan Rusia (2,089,329).

Jumlah kematian di Perancis ialah lebih 48,000 manakala Rusia lebih daripada 36,000 termasuk 401 kematian baharu.

Jangkitan positif Covid-19 Sepanyol (1,589,219), United Kingdom (1,512,045), Itali (1,408,868), Argentina (1,370,366), Colombia (1,248,417) dan Mexico (1,032,688) pula melepasi satu juta kes.