PENGERUSI DAP Sarawak Chong Chieng Jen seorang ahli politik yang lantang bersuara di Dewan Undangan Negeri. Berkelayakan sebagai peguam, beliau pernah merasai nikmat manisnya kuasa apabila dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selama 22 bulan Kerajaan PH memerintah. 

Beliau  mengalahkan Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian  di kerusi Parlimen Stampin dengan sokongan sekitar 64 peratus pada PRU-14 — merosot berbanding dalam PRU 2013 sebanyak 74 peratus.

Beliau buat pertama kali bertanding dalam PRU 1999 ketika politik negara bergelora ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.  

Namun, beliau kecundang di tangan Datuk Song Swee Guan di Bandar Kuching. 

Bagaimanapun, beliau berjaya merampas kerusi itu pada 2004. Beliau menjadi Adun Kota Sentosa, kerusi yang baru diwujudkan pada 2006 dengan sokongan sekitar 58 peratus. 

Pada akhir 2012, ketika Kongres Kebangsaan DAP Ke-16, beliau antara tujuh pemimpin DAP yang dilantik ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat.

Chieng Jen dikenali sebagai seorang yang turut menghulurkan tangan kepada GPS supaya memberi sokongan kepada PH ketika kerajaan pimpinan Tun  Dr Mahathir Mohamad itu hendak tumbang pada  akhir Februari lalu. 

Ahli seumur hidup DAP itu merayu kepada pemimpin GPS agar mengetepikan perbezaan politik masa lalu dan bekerjasama dengan PH demi kepentingan negara yang kini menuju ke arah kerosakan teruk. 

“Demi kepentingan negara, DAP Sarawak sanggup membuat konsesi dan bekerjasama dengan GPS…

GPS harus membuat keputusan untuk memilih antara bersama kleptokrat dan gabungan parti agama Umno-Pas atau mengekalkan gabungan PH yang progresif. 

Kami dalam DAP Sarawak bersedia membuat konsesi dan mengetepikan perbezaan untuk bekerja bersama dengan GPS demi kepentingan negara kita,” katanya dengan nada yang amat terdesak. 

GSP tidak mungkin dapat bekerjasama dengan DAP yang tidak serasi dengan ideologi perjuangannya.

Namun,  kita tentu  tidak akan lupa bagaimana bersemangatnya  beliau ketika  berjanji dalam ucapannya di DUN untuk memberi Sarawak 20 peratus daripada pengeluaran minyak dan 50 peratus daripada kutipan cukai di negeri ini jika PH berjaya menawan Putrajaya. Rakyat Sarawak tentu sudah sedia maklum sama ada janji berkenaan ditunaikan atau tidak selepas PH berkuasa dan Chong menjadi Timbalan Menteri. 

Namun selepas menang,  beliau beliau dan PH mengenakan syarat pula. Syarat ditetapkan oleh PH jika bayaran royalti 20 peratus minyak dan gas,  ditambah 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak mesti digunakan sebagai tanggungjawab fiskal oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk pendidikan serta penjagaan kesihatan di negeri ini.

Yang pasti rentak lagu dan tarian Chieng Jen berubah, selepas DAP tidak lagi menjadi pembangkang. 

Namun, bukan hanya janji itu gagal ditunaikan, tetapi lebih malang lagi, banyak projek pembangunan termasuk jalan raya dan jambatan untuk rakyat Sarawak dibatalkan. Jadi, disebabkan oleh isu tersebut imej beliau sebagai pemimpin tercalar teruk. 

Malah, difahamkan, dalam kalangan pengundi Cina sendiri pun, mereka sudah hilang kepercayaan terhadap beliau.

Moral daripada kisah di atas ialah, kita perlu berhati-hati apabila pemimpin seperti Chieng Jen berbicara, berjanji atau berhujah. Kita tidak harus mudah terpesona dengan janji, hujah dan debat beliau. 

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang wacana, komunikasi politik, pengucapan awam dan retorik, saya suka meneliti kosa kata, istilah, ungkapan, frasa, ayat dan keseluruhan wacana ketika seseorang pemimpin politik berpidato, berhujah dan berucap. 

Saya bukan sekadar meneliti aspek ethos seseorang pembicara, tetapi juga aspek logos, pathos dan retorik. Malah, saya juga akan meneliti dan teknik propaganda dan pemujukan yang digunakan agar saya dapat menilai sesuatu ucapan itu dengan objektif dan tidak mudah terpedaya kerana terpengaruh oleh elemen propaganda, pembujukan dan retorik dalam ucapan berkenaan.  

Ethos merujuk kepada wibawa, kelayakan, dan pengalaman seseorang pemidato. 

Logos merujuk kepada dalil-dalil atau alat sokongan yang digunakan dalam ucapan termasuk testimoni, statistik, contoh dan analogi.   

Pathos pula merujuk kepada penggunaan elemen emosi dalam pengucapan. 

Manakala teknik retorik merujuk kepada bagaimana pemidato atau pengucap memanipulasikan segala elemen atau unsur bahasa bagi menyampaikan maksud dengan berkesan sesuai dengan objektif sesuatu ucapan disampaikan.

Jadi, apabila ucapan Chieng Jen ketika berbahasa mengenai pindaan Artikel 16 Perlembagaan Negeri Sarawak di dalam DUN Sarawak baru-baru ini menjadi tular melalui media sosial, maka seperti biasa, saya meneliti dan menganalisis segala teknik yang beliau gunakan.

Hakikatnya, beliau cuba menggunakan aspek logos dan mengeksploitasikan aspek pathos atau emosi semaksimum mungkin bagi mempengaruhi khalayak. 

Golongan sasarannya bukan sahaja di dalam DUN, tetapi rakyat Sarawak, terutamanya para pengundi di Sarawak. 

Sebagai pemimpin politik pembangkang, beliau tahu bagaimana mengemukakan hujah, bukan sahaja kerana beliau peguam, tetapi orang yang agak terlatih dari segi teknik pengucapan.  

Dari segi retorik, satu daripada  teknik yang banyak beliau gunakan ialah soalan retorik — iaitu apabila pemidato mengemukakan soalan bertubi-tubi tanpa jawapan untuk menguatkan hujah atau menangkis hujah. Kerap dalam keadaan demikian, khalayak diajak berfikir. 

Menurut  Frank Luntz, seorang perunding komunikasi  dan politik terkenal di Amerika Syarikat, teknik ini begitu berkesan, tetapi jarang digunakan dalam pengucapan. 

Jelas, Chieng Jen, sedar akan kesan ampuh teknik berkenaan. Itulah banyak yang terperangkap dan terpesona. 

Namun, sebagai orang terlatih dalam bidang komunikasi politik dan retorik, saya tidak mudah terpedaya.

Dalam persidangan DUN baru-baru ini telah dibentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Sarawak untuk menurunkan usia minimum kepada 18 tahun daripada 21 tahun, dan mentafsirkan serta menjelaskan perkataan ‘Penduduk di  Negeri’. 

Namun, pemimpin DAP itu bersama-sama seorang lagi Adunnya, Violet Yong cuba mengelirukan orang ramai dengan memberi gambaran dan persepsi dan fakta yang tidak tepat tentang pindaan tersebut.  

Mereka memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Sarawak mahu ‘menjual Sarawak, dan gagal dalam merealisasikan slogan ‘Utamakan Sarawak.’  

Tidak mungkin Kerajaan Sarawak yang gigih memperjuangkan hak Sarawak, mahu mengorbankan hak Sarawak seperti yang cuba dilukiskan oleh DAP dan PSB.

Menurut akal logik, tidak mungkin GPS mahu membenarkan sesiapa sahaja dari luar untuk bertanding dalam pilihan raya di negeri ini, termasuk, Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Lim Kit Siang . 

Hakikatnya, semangat dan tujuan utama di sebalik pindaan itu adalah untuk memastikan orang dari luar Sarawak tidak sewenang-wenangnya bertanding dan menjadi wakil rakyat di negeri ini.  

Tujuan pindaan itu sebenarnya adalah untuk mentakrifkan istilah ‘Penduduk di Negeri’ dengan maksud hanya kategori penduduk Sarawak yang memenuhi syarat untuk menjadi wakil rakyat. 

Artikel berkenaan jika tidak dipinda bermaksud sesiapa sahaja rakyat Malaysia, termasuk mereka dari luar Sarawak, dapat bertanding dalam PRN selagi mereka penduduk di negeri ini. Maksudnya, tanpa pindaan ini,  mereka dari Semenanjung atau Sabah atau Labuan yang menginap sementara di negeri ini boleh menjadi Adun. 

Perkara ini perlu difahami dengan  mendalam agar tidak berlaku salah faham. Segalanya perlu dibaca dan ditafsirkan dalam konteks pindaan dan seluruh wacana.

Pertama, penduduk yang dilahirkan di Sarawak, dengan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka dilahirkan di negeri ini.

Kedua, seorang warganegara, walaupun tidak dilahirkan di Sarawak. Namun, ibu bapa atau salah seorang daripada mereka dilahirkan dan tinggal di negeri ini.

Justeru, teori,  hipotesis atau analogi — salah satu teknik dalam logos, mengenai Leila atau Putri, hanya berkisar mengenai kisah bukan penduduk Sarawak, kerana mereka tidak dilahirkan di negeri ini. Meminjam kata-kata dan hujah peguam terkemuka Shankar Ram, pihak pembangkang tidak mengeluarkan hujah berdasarkan fakta di bawah Artikel 16 (2) yang baharu untuk teori Leila. 

Begitu juga, katanya, orang tua yang dinyahlayak sejak awal dan kewujudan Putri yang hilang kelayakan dalam Artikel 16 (2). PSB sebelum ini merujuk kepada satu hipotesis — Putri yang ibunya dari Semenanjung Malaysia, tetapi dilahirkan di Sarawak oleh ibu bapa dari Semenanjung. 

Hakikatnya, dalam kes ini, Putri tetap tidak layak bertanding dan menjadi Adun di bawah pindaan yang diluluskan itu kerana dia bukan penduduk Sarawak meskipun, katakan sudah menetap di Sarawak selama tiga tahun.

Justeru, Artikel  16  perlu dibaca dengan kepala dingin dan tidak sendeng. Amatlah berbahaya jika ia dibaca bersalutkan agenda politik yang berniat jahat.

Justeru, kita wajar mempertikaikan motif dan agenda terselubung DAP dan Chieng Jen apabila enggan menyokong pindaan berkenaan. Malah, Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh mengajak Presiden SUPP untuk berdebat mengenai pindaan berkenaan, selepas pindaan itu diluluskan. 

Yang jelas, baik DAP mahupun PSB memberikan cuba mengelirukan dan memperdayakan rakyat melalui tafsiran yang jelas bermotif jahat. 

Jika tidak, sudah tentu mereka tidak akan teragak-agak untuk menyokong pindaan yang jelas bertujuan murni itu, dan bukannya untuk menghakiskan hak Sarawak dan rakyatnya. 

DAP mengambil kesempatan untuk mempolitikkan pindaan tersebut dengan membangkitkan emosi rakyat. 

Chieng Jen cuba menangguk di air keruh dan mengelirukan rakyat, dengan banyak memanfaatkan teknik membangkitkan emosi dan retorik dalam perbahasannya.

Jadi, Chieng Jen sekali lagi mahu mendapat keuntungan politik dengan bermain politik dalam isu sensitif ini.

Tujuannya sudah terang lagi bersuluh,  hanya satu: Untuk memberi gambaran bahawa kerajaan sekarang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan hak Sarawak. 

Yang memperjuangkannya ialah DAP dan beliau. Beliau tidak syak lagi sekali lagi mahu muncul sebagai hero dengan mengambil kesempatan untuk memutarbelitkan fakta dan kebenaran. 

Rakyat Sarawak, sekali lagi harus berwaspada dengan tidak mudah termakan hujah penuh kesendengan atau bias. 

Akhirnya, apa-apa pun, bagi saya, hujah berkenaan adalah bersifat akademik dan wajar diraikan. 

Pada perkiraan terakhir, sama ada seseorang calon itu menang ketika bertanding di sebarang kerusi di Sarawak dan seterusnya boleh duduk di dalam DUN Sarawak, ditentukan oleh anda sendiri sebagai rakyat Sarawak. 

Hak itu masih terletak di tangan anda sebagai pengundi.