SARATOK: Derita yang dihadapi seorang bapa lima anak yang menghidap barah usus tahap empat mendapat perhatian segera daripada pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) hari ini.

Ketua Cawangan Kanan TBS Sarikei/Sibu, Ali Mat berkata, pihak TBS tampil untuk menghulur bantuan segera sebaik mengetahui nasib yang menimpa keluarga itu setelah tersiar dalam laporan Sarawak Voice semalam.

Menurut Ali, ketika kunjungan pasukan TBS Sarikei ke kediaman Rodie Hasim,41, di Kampung Melango Baru Saratok hanya isteri pesakit berada di rumah bersama anak-anak kerana Rodie sekarang telahpun dirujuk ke Hospital Umum Sarawak ( HUS) Kuching untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut Ali, rombongan TBS Sarikei ketika kunjungan diketuai oleh Ustaz Anna Azfar Awi dan beliau diberitahu pesakit sebelum ini merupakan seorang buruh kasar dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM600 sebulan.

Pesakit juga katanya belum menerima apa-apa bantuan setelah terlantar sakit.

“Ekoran daripada kunjungan yang dilakukan pihak TBS, pihak kami telah menyerahkan bantuan kecemasan berupa wang tunai kepada isteri pesakit bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga terbabit.

“Sementara itu bantuan sara hidup untuk pesakit akan diproses dan akan diberi secara bulanan sepanjang mereka belum mempunyai pendapatan tetap,” ujarnya.

Semalam Sarawak Voice memaparkan kisah seorang bapa kepada lima anak dari Kampung Melango Baru di sini yang berdepan keperitan hidup yang mencabar apabila disahkan menghidap barah usus tahap empat oleh pihak doktor yang merawatnya.

Derita yang mencengkam Rodie Hasim,41 tahun, sekali gus turut membelenggu seluruh isi keluarganya yang sebelum ini bergantung harap dengan kudrat dan keringatnya dalam menyara keluarga.

Tanggungjawab menyara keluarga kini dibahu isterinya Anasiah Antey,31 tahun yang baharu lepas bersalin dua bulan yang lalu.

Lantaran itu kehadiran pihak TBS ke kediaman keluarga Rodie sedikit sebanyak memberikan sedikit kelegaan buat keluarga tersebut bagi meneruskan kehidupan seharian yang kian mencabar lebih-lebih lagi ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Isteri Rodie, Anasiah Antey dalam pada itu menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan daripada pihak TBS yang simpati dengan nasib yang menimpa keluarganya.

Anasiah juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk dan beberapa pihak berkenaan yang telah turut menghulur sumbangan kepada keluarganya.