SRI AMAN: Pelan Pembangunan dan baik pulih sistem perparitan di kawasan Kampung Muhibbah dianggarkan menelan kos kira-kira sebanyak RM2 juta.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, pelan pembangunan dan baik pulih sistem perparitan di kawasan tersebut kini dalam proses untuk dilaksanakan.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan awam yang sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Information Wheel (IOW) di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah pada Sabtu.

Tambahnya, perancangan memulihkan sistem perparitan akan dilakukan dan merupakan sambungan kepada projek yang terdahulu.

Dalam majlis itu, beliau telah menyampaikan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Dewan Serbaguna Taman Harmoni dan RM100,000 masing-masing kepada Surau Darul Hasanah Taman Harmoni, Masjid Darul dan Surau Al-Amin, Taman Sri Jaya.

Selain itu, turut diserahkan 10 unit meja bulat dan 100 kerusi plastik untuk kegunaan Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah.

Hadir sama, Residen Bahagian Sri Aman, Indit Bangai dan Pegawai Daerah Sri Aman Mohd Ashree Wee.