KUCHING: Bagi memastikan Sarawak maju menjelang 2030, Ketua Menteri berkata. produktiviti dalam kalangan rakyat amat penting ditekankan.

“Rakyat kita sendiri mesti bersedia untuk menghadapi transformasi yang mempunyai potensi yang baik kepada negeri dan negara. Kita mesti bersedia ke arah itu,” kata Datuk Patinggi Tun Abang Haji Openg dalam temu bual Program Pasca-Bajet 2021 dengan TVS pada Khamis.

“Peluang pekerjaan mesti diwujudkan melalui teknologi terkini yang penting untuk masa depan. Kalau kita mempunyai teknologi dan pakar, mereka dapat menjadi perkakas untuk mentransformasikan ekonomi Sarawak,” katanya.

“Bermakna mereka ada kepandaian dan kemahiran. Begitu juga dengan TV sekarang yang berubah kepada satu sistem baharu, Bermakna terpulang kepada rakyat sendiri,” jelas beliau, sambil menambah beliau sendiri pun perlu banyak membaca, melihat kepada potensi sama ada sesuai atau tidak kepada ekosistem negeri.

“Jadi kalau kita sudah baca dan analisis dan ia dapat dilaksanakan, kita mesti mempunyai keyakinan dan berani untuk melaksanakannya, tetapi jangan berani membuta, mesti berani dengan berfakta,” tegasnya.

Abang Johari berkata, rakyat mesti ada ilmu, kemahiran dan sikap yang betul.

“Saya yakin masa depan kita cerah. Semua usaha ini untuk generasi akan datang. Saya hanya meletakkan asas, yang lain terpulang kepada generasi muda,” katanya lagi.