KUCHING: Program Komuniti Sejahtera (Jawatankuasa Membanteras Penyalahgunaan Dadah Dan Substance Dalam Komuniti), anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan bersama JKKK Kampung Muara Tuang merupakan program yang bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dalam komuniti.

Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Dato’ Peter Minos menegaskan, masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk menangani
masalah sosial sedemikian, namun ia merupakan tanggungjawab bersama.

Jelas beliau lagi, dengan adanya program kerjasama sedemikian, pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan, NGO, pemimpin masyarakat, ibu bapa dan komuniti yang terlibat dapat memantapkan lagi usaha membanteras dadah demi mewujudkan komuniti yang selamat, sejahtera dan bebas dari masalah sosial.

Berikut menurut beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Program Komuniti Sejahtera bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Muara Tuang semalam.

Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti ceramah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan kebersihan antara lorong kampung, pertandingan sepanduk benteras dadah dan pemeran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Hadir sama, Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an, Setiausaha Perbandaran (MPKS), Norhalimah Mohammad Hamni serta Pemanca Bahagian Samarahan, Seli Hasan.